KEPUTUSAN kerajaan Barisan Nasional/Perikatan Nasional untuk melaksanakan keadaan darurat tahun ini dibuat tanpa niat yang buruk, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.
“Kerajaan dengan tegasnya menolak tohmahan yang keadaan darurat digunakan untuk kekal berkuasa. Semua pihak perlu hentikan tohamahan seperti ini,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) di Dewan Rakyat semasa sesi penggulungan pembatalan ordinan darurat hari ini.
“Kerajaan ada maklumat cukup untuk laksanakan darurat dan bertindak sewajarnya. Kerajaan telah mengambil langkah yang difikirkan terbaik pada masa itu untuk mengekang penularan wabak Covid-19,” kata ahli Parlimen Santubong.
Selain itu, Wan Junaidi, yang turut berada dalam pentadbiran sebelum ini berkata kerajaan tidak gagal dalam menguruskan pandemik Covid-19.
“Kami berjaya sehinggalah varian Delta muncul,” kata rakyat Sarawak itu.
Wan Junaidi berkata demikian menjawab soalan ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan keperluan darurat bagi menangani pandemik Covid-19.
Semasa perbahasan, ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kes Covid-19 telah meningkat lebih enam kali ganda selepas bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin isytihar darurat pada 12 Januari.
“Ini cuma gerakan politik kerana negara lain juga ada darurat, mereka tidak gantung sidang Parlimen. Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) dan menteri-menteri lain tidak boleh cuci tangan sebab mereka juga berada dalam kabinet yang sama.”
Terdahulu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) turut menegaskan sidang Parlimen digantung dengan menggunakan alasan darurat walaupun semua ahli Parlimen telah divaksin.
Pembangkang berkali-kali menegaskan pengisytiharan itu tidak perlu dan tindakan Muhyiddin menggantung sesi Parlimen dibuat selepas timbul desas desus beberapa ahli Parlimen Umno mahu menarik balik sokongan terhadapnya.
Pada 16 Ogos, Muhyiddin meletak jawatan sebagai perdana menteri selepas 14 ahli Parlimen Umno umum tarik sokongan terhadap ketua Perikatan Nasional itu.
Sementara Wan Junaidi mempertahankan pendirian rasmi yang kerajaan tidak ada niat buruk dengan memohon pengisytiharan darurat, beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa Parlimen tidak dibenarkan bersidang sehingga 25 Julai lalu.
Parlimen, bagaimanapun, sebulat suara mengundi untuk membatalkan kesemua tujuh ordinan darurat yang diluluskan semasa darurat tahun ini.
Ordinan darurat yang dibatalkan adalah peraturan untuk meningkatkan denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), membenarkan kerajaan persekutuan dan negeri guna dana kerajaan tanpa kelulusan perundangan, selain kerajaan dibenar guna kemudahan hospital swasta untuk perangi pandemik Covid-19. – 25 Oktober, 2021.
Komen