KERAJAAN perlu beri ruang siaran yang sama kepada pembangkang untuk berkempen di televisyen berikutan larangan berkempen secara konvensional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata para penganalisis.
Mereka berkata kepada The Malaysian Insight cadangan ini juga boleh diguna pakai untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun depan, bermula dengan membenarkan pembangkang masa siaran yang sama dalam kaca televisyen dan radio.
Tambah mereka pembangkang terpaksa lebih berusaha untuk bersaing dengan jentera kerajaan, jika dilarang berkempen secara konvensional.
Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengarahkan Putrajaya untuk membenarkan pembangkang mempunyai masa siaran yang sama dengan kerajaan.
Beliau memberi saranan agar televisyen kebangsaan turut mengadakan perdebatan antara calon ketua menteri.
“Walaupun kami faham perlu sekat perjumpaan fizikal ketika pilihan raya Melaka. Kami minta SPR sediakan cara berkempen yang lain buat calon dan parti.
“Salah satu cara, SPR arah media milik kerajaan seperti RTM dan Bernama atur masa siaran yang sama buat parti politik untuk bentang dasar dan pelan mereka buat Melaka.
“Mereka juga boleh atur debat calon ketua menteri supaya para pengundi dapat menilai. Secara ringkasnya, bagi alternatif, jangan terus sekat,” katanya.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Ahad mengumumkan larangan untuk sebarang aktiviti, perarakan atau perhimpuan sosial berkaitan PRN Melaka.
Khairy berkata keputusan itu dibuat memandangkan risiko jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi dan peningkatan kes baharu yang dilaporkan.
Menteri Umno itu turut menyebut yang larangan itu adalah selaras dengan senarai aktiviti tidak dibenarkan dibuat di bawah SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional yang terbaru.
SOP terbaru itu menetapkan yang sebarang perhimpunan atau majlis sosial yang menyebabkan orang ramai sukar mematuhi arahan ketua pengarah kesihatan termasuk keperluan penjarakan sosial adalah dilarang sama sekali.
“Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
Sementara itu, Pengurus Program Iman Research Badrul Hisham Ismail bersetuju dengan Fann, berkata masa siaran yang sama harus diberikan kepada pembangkang.
“Ini tentang keadilan. Walaupun tanpa pandemik, pembangkang ada hak untuk dapat masa siaran yang sama seperti kerajaan.
“Oleh sebab tidak ada kempen langsung, Putrajaya perlu peruntukkan masa kepada pembangkang di RTM dan Bernama, termasuk saluran radio mereka,” kata Badrul Hisham.
Pengarah eksekutif Pusat Ilham Hisomudin Bakar berpendapat tanpa kempen pilihan raya konvensional, pembangkang mungkin terpaksa bertempur keras untuk bersaing dengan jentera kerajaan.
“Sejak bertahun-tahun lamanya pembangkang bergantung pada kempen, ceramah dan demonstrasi dari rumah ke rumah. Mereka tidak ada jentera kerajaan untuk jalankan kempen pilihan raya mereka.
“Pilihan raya negeri ini dapat jadi percubaan bagi negara kita. Jika pembangkang diberi masa siaran yang sama, kaedah ini dapat digunakan dalam pilihan raya tahun depan,” katanya.
Kerajaan Melaka runtuh setelah empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Barisan Nasional-Perikatan Nasional yang diketuai Umno.
Pembelotan pada 4 Oktober itu diketuai orang kuat Umno Idris Haron (BN-Sg Udang), dengan sokongan Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (PN-Telok Mas). – 24 Oktober, 2021.
Komen