RUU355 antara faktor perpaduan negara rapuh, kata ahli agama


Asila Jalil Low Han Shaun

Presiden Persekutuan Taoist Malaysia, Daozhang Tan Hoe Chieow berkata sekiranya usul pindaan RUU355 diluluskan di Parlimen, ia akan menjejaskan umat Islam dan bukan Islam. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Januari, 2018.

MALAYSIA yang kini semakin Islamik dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 yang juga dikenali RUU355 telah menjadikan perpaduan negara ini rapuh, kata seorang ahli agama.

Presiden Persekutuan Taoist Malaysia, Daozhang Tan Hoe Chieow berkata sekiranya usul pindaan RUU355 diluluskan di Parlimen, ia akan menjejaskan umat Islam dan bukan Islam.

Seandainya RUU itu diluluskan, beliau berkata kerajaan perlu menaikkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah kepada 30 tahun tempoh penjara, denda RM100,000 dan 100 kali rotan.

“Inilah sebab kenapa kami menentang (RUU355). Bukan kerana kami mencampuri urusan syariah Islam, tetapi ini dilihat sebagai langkah pertama ke arah Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

“Ia akan menjejaskan seluruh rakyat Malaysia,” kata Tan di sebuah forum oleh kumpulan G25 di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam hari ini.

Jelas Tan, apa yang menganggunya ialah ada orang Islam mengatakan yang agama lain tidak harus campur tangan dalam perkara ini kerana dari merekalah orang bukan Islam mendapat kerakyatan.

“Selepas 60 tahun menjadi rakyat Malaysia, saya percaya semua orang berjuang untuk kemerdekaaan dan kita sama saja di negara ini.

“Tak perlu ada yang buat kita rasa kita adalah kelas kedua. Ini trend baru yang membimbangkan,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada April tahun lalu mencipta sejarah apabila menjadi ahli Parlimen pembangkang pertama membentangkan RUU persendirian di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Speaker Pandikar Amin Mulia menangguhkan perdebatan usul itu dan persidangan dewan dihentikan selepas Ketua Setiausaha PAS Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) menyuarakan sokongan.

Berkenaan Islamisasi di negara ini, Tan berkata Malaysia sekarang berbeza dengan dahulu di mana ketika itu semua rakyat bersatu padu dan isu melibatkan agama jarang ditimbulkan. – 27 Januari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apa salahnya kalau malaysia jadi negara islam?? bagi aku xperlu nk jadikan isu benda ni. bila islam nk tegakkan hak kaum lain atau agama lain bising. tapi kalau agama lain tegakkan hak ke apa boleh pulak?? apa cerita ni??

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan