BN Pulau Pinang nafi sabotaj projek terowong dasar laut, lebuh raya


Looi Sue-Chern

Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata masalah dihadapi projek terowong dasar laut dan lebuh raya disebabkan kerajaan negeri gagal bersikap telus dan bertanggungjawab terhadap projek itu. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Januari, 2018.

BARISAN Nasional (BN) Pulau Pinang, hari ini menafikan tuduhan Ketua Menteri Lim Guan Eng, ia mensabotaj projek terowong dasar laut dan lebuh raya.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata jika projek itu mengalami kelewatan, ia adalah kerana ketelusan, kebertanggungjawaban dan kecekapan kerajaan negeri untuk berlaku jujur terhadap projek.

“Anda sabotaj diri sendiri. Jangan tuding jari kepada kami,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan negeri.

Beliau berkata kerajaan menyatakan di dewan perundangan pada Mei tahun lepas projek itu dijangka bermula pada pertengahan tahun ini, sementara menunggu kelulusan EIA (penilaian impak alam sekitar), pengambilan tanah dan penyelesaian tebus guna tanah yang akan digunakan sebagai pembayaran untuk projek itu.

“Pemimpin BN hanya menyemak semula projek itu kira-kira dua minggu lalu. Bagaimanakah tindakan kami menyebabkan projek tertangguh sedangkan kerajaan negeri menjangkakan projek itu akan bermula pada pertengahan tahun ini?

“Kami tidak pernah pergi ke mahkamah untuk menangguhkan projek atau membentangkan usul di dewan perundangan negeri untuk melengahkannya.

“Apabila mereka (DAP) berada pada pihak pembangkang, mereka membentangkan usul untuk menghentikan Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR),” kata bekas exco negeri itu.

Projek terowong dan lebuh raya itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lim pada awal minggu ini menyalahkan BN kerana menyebabkan projek itu ditangguhkan selepas pemimpin BN lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wee Ka Siong mempersoalkan mengapa projek itu belum dimulakan walaupun sudah diserahkan kepada kontraktornya pada 2013.

Lim berkata kelulusan EIA bagi tiga lebuh raya, yang merupakan sebahagian daripada projek bernilai RM6.3 bilion, hanya diperoleh lewat tahun lepas, dan tidak lama kemudian, beberapa individu ditangkap bagi membantu siasatan SPRM.

Teng turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri membuat bayaran pertukaran tanah 3.7 ekar bernilai RM208 juta kepada kontraktor projek, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, sebelum kelulusan EIA diterima secara bertulis. – 27 Januari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pihak pembangkang makin hari makin banyak agenda untuk menjatuhkan kerajaan semasa. tapi kerajaan tetap berdiri teguh mentadbir negara.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan