MENCABAR keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung keputusan kes Pulau Batu Puteh berdasarkan bukti baharu adalah amalan biasa dan tidak bertentangan dengan amalan antarabangsa, kata P Ramasamy hari ini.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang II menyifatkan alasan Dr Mahathir Mohamad untuk menarik diri daripada rayuan terhadap keputusan ICJ sebagai “cara mudah untuk keluar daripada situasi”.
“Alasannya bahawa Malaysia harus menghormati perjanjian antarabangsa dengan Singapura seperti sudah difikirkan. Seperti yang semua orang tahu, Dr Mahathir hanya memendam kebencian dan perasaan geram kepada Singapura,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.
“Beliau perlu dipersalahkan kerana melepaskan Pulau Batu Putih.”
Tambahnya, alasan Dr Mahathir juga seolah-olah menggambarkan beliau percaya Singapura mempunyai kedaulatan ke atas pulau itu.
Menerusi posting di blognya semalam, bekas perdana menteri berkata Malaysia akan menjadi negara pariah jika tidak menghormati janji.
Beliau memutuskan siapa pemilik Pulau Batu Puteh yang sah dirujuk ke ICJ dan Malaysia dan Singapura bersetuju secara bertulis bahawa mereka akan bersetuju dengan apa pun keputusan yang dibuat oleh ICJ.
Ahli Parlimen Langkawi juga mendakwa kerajaan Johor melalui surat kepada Singapura telah menyatakan negeri itu tidak akan menuntut Pulau Batu Puteh.
Ramasamy berkata walaupun Malaysia tidak berpeluang menang dalam rayuan itu, dari sudut politik, ianya masuk akal untuk mengajukan rayuan.
Pada 9 Mei, 2003, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membawa pertikaian berhubung Pulau Batu Puteh dan perairan sekitarnya iaitu Tubir Selatan dan Batuan Tengah, ke ICJ.
Pada 2008, ICJ menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura. Mahkamah itu memutuskan bahawa Malaysia memiliki Batuan Tengah, namun ia tidak memberikan Tubir Selatan kepada mana-mana negara, dengan menyatakan bahawa ia adalah milik kerajaan di wilayah perairannya.
Pada Julai 2017, Malaysia turut memfailkan permohonan berasingan yang meminta ICJ untuk menafsirkan penghakiman 2008 berhubung Pulau Batu Puteh.
Bagaimanapun, sebaik sahaja Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum 2018, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menerima keputusan itu dan tidak akan meneruskannya.
Kerajaan baharu kini menubuhkan pasukan khas untuk melihat semula keputusan itu. – 21 Oktober, 2021.
Komen