Pendidikan di rumah cegah remaja ketagih seks, kata pakar


Angie Tan

Anak-anak yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah atau tidak mendapat jawapan tepat mengenai pendidikan seks dari ibu bapa menjadi faktor utama masalah ketagihan seks, kata pakar. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2021.

MESKIPUN mungkin agak janggal, ibu bapa disarankan supaya lebih terbuka membincangkan pendidikan seks dengan anak terutamanya pada peringkat awal remaja bagi memupuk kesedaran kepada golongan itu, kata ahli akademik dan pakar terapi.

Mereka berkata demikian susulan hasil kajian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai ketagihan seks dalam kalangan remaja yang begitu membimbangkan.

Anak-anak yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah atau diberi jawapan yang salah mengenai pendidikan seks dari ibu bapa menjadi faktor utama mengapa masalah ini berlaku, tambah mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dalam satu wawancara bersama Harian Metro bulan lalu mendedahkan sembilan daripada 10 remaja perempuan bermasalah yang ditemu bual mengaku ketagih seks.

Siti Kamsiah dipetik berkata kajian D11 juga mendapati remaja ini sanggup menawarkan diri serendah RM50 untuk melakukan hubungan terlarang itu, walaupun sedar perbuatan mereka melanggar moral dan berdosa di sisi agama.

Menurut pakar terapi dan kaunseling seks Chew Chee Khiong, masalah remaja ketagih seks mungkin tercetus daripada rabaan atau alat sulit disentuh oleh seseorang semasa mereka masih kecil.

“Mereka kemudian teringat dan cuba cetuskan semula perasaan yang mereka alami semasa kecil,” Chew memberitahu The Malaysian Insight.

Beliau seterusnya menggesa ibu bapa supaya bersikap lebih terbuka membincangkan asas pendidikan seks dengan cara yang lebih sihat, jelas dan tepat.

“Ibu bapa tidak boleh memberi alasan mereka tidak tahu bagaimana untuk berbincang dengan anak kerana semua maklumat dan panduan boleh didapati dalam talian.

“Cuba berbual dengan anak-anak untuk fahami apa yang mereka fikirkan,” jelasnya.

Tanggungjawab mencegah masalah ketagihan seks dalam kalangan remaja juga tidak harus terbeban kepada ibu bapa sahaja, tetapi memerlukan kerjasama sekolah dan jabatan pendidikan.

“Kita memerlukan lebih ramai guru yang megajar pendidikan seks kerana remaja perlu diberi pendedahan yang tepat.”

Presiden Society for the Scientific Study of Sexuality Kuala Lumpur dan Selangor Ngoh Chee Meng berkata tingkah laku anak dipengaruhi oleh hubungan sesama ahli keluarga.

“Hubungan antara ibu bapa dan anak adalah asas mencegah banyak masalah membabitkan remaja termasuk ketagihan seks.

“Sikap dan peranan ibu bapa terhadap seks juga akan mempengaruhi anak.

“Jika anda malu dan tidak terbuka, maka anak akan mendapatkan orang lain untuk meluahkan masalah mereka,” katanya. – 20 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen