Bayar RM3,000 untuk status vaksin lengkap di MySejahtera


Alfian Z.M. Tahir

Pengawal keselamatan memeriksa status vaksinasi pelanggan sebelum dibenarkan sebuah premis perniagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2021.

STATUS vaksinasi Covid-19 yang lengkap dan sijil digital di MySejahtera boleh “dibeli” dengan harga RM3,000, kata seorang pembeli kepada The Malaysian Insight.

Kegiatan haram itu dijalankan oleh individu yang mempunyai akses ke aplikasi MySejahtera dan tawaran dibuat secara rahsia melalui aplikasi pesanan selamat seperti Telegram.

Seorang ahli perniagaan dengan gelaran “Datuk” yang enggan mendapatkan vaksin memberitahu The Malaysian Insigt beliau membayar RM3,000 kepada seseorang di Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan status “vaksi lengkapnya” di MySejahtera.

“Pada mulanya saya membayar RM1,500 kepada seseorang yang mendakwa dalam kumpulan Telegram dia boleh mengubah status vaksinasi saya tetapi ternyata itu adalah penipuan.

“Kemudian saya mengenali seseorang di KKM yang mengatakan beliau dapat melakukannya dengan harga RM3,000. Saya membayar melalui pindahan wang bank kepada individu berkenaan dan akhirnya saya dapat mengubah status vaksinasi,” katanya.

Katanya beliau perlu menunggu selama sebulan selepas pembayaran dibuat untuk status vaksinasi ditukar dan sijil digital muncul di aplikasi MySejahtera.

The Malaysian Insight sempat melihat status vaksinasi lengkap lelaki berkenaan tetapi beliau kemudian memadamkan gambar tersebut.

Katanya beliau menolak vaksin Covid-19 kerana berasa ia sebahagian daripada konspirasi antarabangsa.

The Malaysian Insight memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Abd Jalil Hassan mengenai perkara itu dan berjanji akan menyiasatnya. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi tidak memberikan komen kecuali berkata, “Lapor kepada polis,”.

Pada Ogos, polis mula menyiasat penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu.

Bulan lepas, tangkapan skrin dari hantaran di Telegram yang menawarkan pelbagai jenis sijil vaksinasi palsu dengan harga RM1,500, RM400 atau RM200 banyak dikongsi di media sosial.

Kerajaan mengenakan SOP untuk hanya membenarkan mereka yang lengkap vaksin Covid-19 makan di restoran, menginap di hotel dan bercuti, merentas sempadan serta melancong ke luar negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata kerajaan akan “terus menyusahkan hidup” mereka yang enggan menerima vaksin Covid-19.

“Maaf saya katakan, kalau anda tidak mahu menerima vaksin atas pilihan sendiri, jadi kita akan buatkan hidup anda sukar dan ia akan berterusan begitu.

“Tidak boleh makan di restoran, tidak boleh ke pusat beli-belah, dan kita juga akan keluarkan Strategi Ujian Nasional minggu depan… ada kemungkinan mereka (yang enggan mengambil vaksin) akan diminta membuat ujian mengikut kekerapan tertentu, yang biayanya perlu ditanggung sendiri. Pesanan ini adalah untuk meminta supaya anda mengambil vaksin,” katanya pada Sabtu lepas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata kerajaan akan 'terus menyusahkan hidup' mereka yang enggan menerima vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2021.

Bagaimanapun, katanya bagi yang tidak dapat divaksin atas alasan kesihatan, mereka tidak menghadapi apa-apa kesulitan kerana akan diberikan pengecualian digital MySejahtera.

Seorang lelaki berusia 48 tahun yang tidak mahu dikenali namanya menyelar kerajaan kerana membuat ugutan sedemikian.

Kataya, beliau tidak mahu mengambil vaksin Covid-19 ketika ini kerana kajian yang dilakukan masih terhad.

“Adakah ini kerajaan yang mengatakan vaksinasi tidak wajib dan kerajaan sama juga berusaha untuk memaksa orang ramai mengambil suntikan vaksin.

“Mula-mula mereka kata tidak apa (tidak wajib), bukan mereka kata kita harus mengambilnya.

“Saya memilih untuk tidak mendapatkan vaksin ketika ini. Jika suatu hari nanti saya berpuas hati dengan kajian, saya akan dapatkannya. Buat masa ini saya tidak yakin,” katanya.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata pendekatan tegas Khairy terhadap rakyat yang tidak mahu divaksinasi Covid-19 tidak boleh diterima,

“Kumpulan antivaksin ini, saya tidak sokong, tetapi kadang-kadang hujah mereka ada kuat juga.

“Jadi kita jawab dengan hujah. Dia (mereka yang tolak vaksin) bagi kajian saintifik. Kita bawa hujah kajian saintifik yang lebih kuat untuk mematahkan hujahnya,” katanya dalam satu kenyataan. 

Khairy kemudian memberikan maklum balas berkata kerajaan telah cukup berusaha memberikan penerangan mengenai kebaikan dan keberkesanan vaksin Covid-19 kepada rakyat.

Sementara itu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak berniat menyusahkan orang ramai dan masalah dihadapi mereka yang menentang vakasinasi adalah “kerana sikap mereka sendiri”.

The Malaysian Insight juga mendapati kumpulan antivaksin yang sama di Telegram juga menjadi tempat jualan Ivermectin, ubat antiparasit yang digunakan untuk merawat haiwan dijual sebagai ubat ajaib terhadap Covid-19 walaupun terdapat amaran daripada KKM untuk melarang penggunaannya.

Dalam satu kumpulan Telegram yang diberi nama Ivermectin Malaysiaku, pil Ivermectin dijual pada harga RM35.

Kementerian sedang mencuba penggunaan Ivermectin untuk pesakit Covid-19 berisiko tinggi dan belum meluluskannya sebagai sebahagian daripada rawatan. – 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen