Kerajaan sudah cukup terang tentang vaksin, kata KJ


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya telah mengemukakan segala bukti saintifik berhubung keberkesanan vaksin kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2021.

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan telah cukup berusaha memberikan penerangan mengenai kebaikan dan keberkesanan vaksin Covid-19 kepada rakyat.

Khairy berkata malah kementeriannya telah mengemukakan segala bukti saintifik berhubung keberkesanan vaksin kepada rakyat.

“Dan kita terus memberi penerangan. Saya minta maaf saya perlu tegas dalam isu ini. Panggilah lah saya dajjal atau apa sahaja,” katanya dalam satu ciapan akaun Twitternya hari ini.

Khairy sebelum ini berkata kerajaan akan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang enggan menerima vaksin, dengan ‘terus mengenakan pelbagai kesukaran’ terhadap mereka.

Semalam Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Khairy berkenaan kerajaan akan “menyusahkan” kehidupan harian golongan antivaksin jika mereka terus menolak penerimaannya, sebagai satu langkah sombong.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata adalah menjadi peranan kerajaan dalam memastikan semua rakyat di negara ini menerima vaksin, dengan menggunakan kaedah merayu dan mendidik golongan ini mengenai kelebihan vaksin bagi menentang Covid-19. – Bernama, 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen