KERAJAAN bukan kekurangan wang tetapi boros, kata ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight wang disia-siakan untuk perkara tidak bermanfaat bagi rakyat.
“Bantuan yang diberikan kita mampu memberi. Masalahnya bukan tak cukup duit tetapi tidak guna duit dengan betul.
“Contoh senang, kata tiada duit tetapi perbaiki rumah perdana menteri. Mana logiknya? Kata tiada duit tapi kita bina tiga buah dewan. Berpuluh juta juga (kos). Kata tiada duit, kita pilih berapa ramai menteri, berapa ramai penasihat?” soalnya.
Beliau merujuk kepada lebih RM30 juta yang dibelanjakan untuk kerja pengubahsuaian di Seri Perdana yang menurut kerajaan ia perlu dilakukan bagi memelihara bangunan itu sebagai lambang institusi Ketua Kerajaan dan mencegah kerosakan pada struktur tersebut.
Muhammed berkata sekiranya wang itu dibelanjakan untuk golongan berpendapatan rendah, ia akan memberi kesan positif terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan kerana mereka akan menghabiskan untuk barang penting atau dalam perniagaan mereka.
“Masalahnya (kerajaan) berbelanja lebih, dan pada masa sama tidak tahu bagaimana mengumpulkan pendapatan,” kata pengarah urusan DM Analytics.
Mengenai peningkatan tahap hutang negara, beliau berkata bahkan negara maju seperti Jepun dan United Kingdom yang mempunyai hutang negara yang tinggi tetapi yang membezakannya adalah dispilin fiskal yang kuat.
“Masalahnya kita kurang ketelusan. Kita tidak tahu untuk apa kerajaan meminjam, bagaimana wang itu akan dibelanjakan. Yang kita tahu ialah rakyat harus membayarnya.
“Ada banyak kebocoran dan korupsi,” katanya.
Katanya, pinjaman tidak menjadi masalah selagi ia digunakan sebagai pelaburan untuk menghasilkan pulangan dan bermanfaat bagi negara.
“Untuk membasmi rasuah, kita perlu ketelusan. Kita bahkan tidak tahu berapa kos vaksin (Covid-19) dan berapa dana Covid-19 digunakan,” katanya.
Mengenai Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober, beliau berkata tumpuan harus diberikan dalam membantu rakyat dan memacu pemulihan ekonomi.
“Jangan buat mcm bajet tahun lepas, bantuan sikit dan keutamaan tak tentu hala,” katanya.
Bonus diberikan kepada penjawat awam semasa wabak tersebut dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) diberi peruntukan sebanyak RM80 juta.
Sebaliknya kerajaan harus fokus untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah, majikan yang bekerja sendiri dan pekerja terjejas.
Katanya, Putrajaya tidak boleh berjimat cermat ketika berbelanja untuk rakyat kerana ia akan menghasilkan pulangan ekonomi yang baik.
“Membazir hanya akan menguntungkan orang tertentu tetapi bukan golongan memerlukan,” tambah Muhammed. – 15 Oktober, 2021.
Komen