Pakar vaksin cadang dos penggalak untuk semua individu


Ravin Palanisamy

Putrajaya bulan lalu memutuskan memberi dos penggalak Covid-19 kepada barisan hadapan dan warga tua untuk meningkatkan perlindungan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2021.

WALAUPUN ketika ini hanya mereka yang berisiko tinggi diberi keutamaan mendapat suntikan penggalak Covid-19, pakar vaksin Dr Ajit Pal Singh berkata setiap individu sepatutnya mendapat suntikan ketiga.

Ketua pakar biologi dan vaksin di Pharmaniaga Berhad itu berkata tahap antibodi akan mulai berkurangan selepas enam hingga lapan bulan mendapat vaksin lengkap dan ada kebimbangan ia boleh menyebabkan kes terobosan di negara ini.

“Menjelang enam hingga lapan bulan pengambilan (vaksin), kita mengalami penurunan tahap antibodi.

“Inilah masanya jangkitan terobosan mungkin mulai masuk. Kita sudah melihatnya di Israel, Singapura dan negara lain.

“Di Malaysia, yang mula melakukan vaksinasi pada suku kedua tahun ini, pada akhir tahun kita mungkin melihat jenis jangkitan itu berlaku. Jadi, masa yang tepat untuk dos penggalak sebenarnya adalah enam bulan atau kemudian.

“Kita memerlukan dos penggalak untuk barisan hadapan, orang tua, imunokompromi, dan populasi khas yang berisiko tinggi. Tetapi saya percaya semua orang akan memerlukan suntikan (penggalak) ini,” kata Ajit dalam webinar bertajuk “Suntikan Penggalak Covid-19 dan Vaksinasi untuk Kanak-kanak”.

Putrajaya bulan lalu memutuskan memberi dos penggalak Covid-19 kepada barisan hadapan dan warga tua untuk meningkatkan perlindungan mereka.

Malaysia diberi kelulusan bersyarat untuk vaksin Pfizer digunakan sebagai penggalak kepada orang dewasa berumur 18 tahun ke atas, sekurang-kurangnya enam bulan selepas mereka menerima dos kedua.

Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memberi dos penggalak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Sim Kui Hian pada Isnin berkata 340,000 orang di negeri ini sudah dikenal pasti sebagai penerima utama dan akan menerima dos penggalak sepanjang bulan ini dan seterusnya.

Beliau berkata pada masa ini terdapat lebih 25 negara di seluruh dunia yang sudah mula memberi dos penggalak kepada rakyat mereka.

Ajit juga menyarankan agar tidak mencampurkan vaksin Covid-19, apalagi bagi pengambilan dos penggalak atau dua dos utama, dengan alasan kekurangan data saintifik dan risiko yang terlibat.

“Kita tidak boleh mencampurkan sebarang vaksin. Ia harus dibuktikan secara ilmiah sebelum kita mula mencampurkannya.

“Satu daripada 5 negara teratas yang mula memberikan dos penggalak berjaya menunjukkan apabila anda memberi Sinovac kepada penerima Sinovac, keberkesanannya nyata jauh lebih baik berbanding jika mendapat vaksin lain.

“Walaupun tindak balas antibodi yang diberikannya masih lebih tinggi ketika anda mencampurkan tetapi keberkesanannya menunjukkan pencampuran tidak boleh dilakukan untuk dos penggalak.

Sehingga semalam, Malaysia memberi vaksin lengkap sebanyak 21.6 juta atau 66.1% daripada populasi keseluruhan dengan 21.2 juta adalah orang dewasa. – 13 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen