CAMPURAN vaksin Covid-19 tidak digalakkan buat masa ini apatah lagi untuk pengambilan dos penggalak atau dua dos utama, kata pakar vaksin Dr Ajith Pal Singh hari ini.
Ketua pakar biologi dan vaksin di Pharmaniaga Berhad berkata kajian saintifik menunjukkan percampuran vaksin Covid-19 boleh berisiko mempunyai kesan sampingan lebih besar berbanding mendapatkan vaksin jenis sama.
“Kajian yang dibuat di United Kingdom, yang mana dilakukan dengan mencampurkan vaksin Covid-19 bukan hanya untuk dos penggalak namun juga pada suntikan utama di UK. Kajian menunjukkan ketika vaksin dicampur ‘A’ dan ‘B’, kesan sampingannya berbeza ketika dicampur ‘A’ dan ‘A’ serta ‘B’ dan ‘B’.
“Dalam beberapa kes, apabila dicampurkan vaksin ‘A’ dan ‘B’, kesan sampingannya jauh lebih tinggi dari gabungan dua campuran berbeza berbanding vaksin ‘A’ dengan ‘A’ sahaja,” katanya dalam Webinar bertajuk Suntikan Penggalak Covid-19 dan Vaksinasi untuk Kanak-Kanak.
Bagaimanapun Dr Ajit tidak menyebut jenis vaksin yang digunakan dalam kajian di UK kerana beliau berkata data tersebut masih dalam kajian.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu Dewan Rakyat pendekatan heterologi “campur dan padan” akan diberi kepada mereka yang memenuhi syarat untuk mendapatkan dos penggalak.
Dr Ajit berkata seseorang tidak boleh mencampurkan sebarang jenis vaksin Covid-19 dan mendakwa ia harus dibuktikan secara saintifik sebelum ia dilakukan.
Beliau menyatakan keprihatinannya atas masalah itu kerana kekurangan data dan menyebutkan kes baru-baru ini di Thailand yang menyebabkan kematian akibat percampuran vaksin.
Di Thailand, seorang lelaki berusia 39 tahun meninggal dunia seminggu selepas dia menerima suntikan kedua Covid-19 dengan vaksin berbeza - pertama adalah Sinovac dan kedua AstraZeneca.
Siasatan berhubung kematiannya sedang dijalankan.
Dr Ajit berkata data mengenai campuran vaksin terus berkembang namun dia memberi peringatan dengan mengatakan ia berisiko.
“Ia berisiko. Tidak ditunjukkan apa kesan sampingan jangka panjang dan pendek.
“Sehingga kini data masih berkembang. Kita tidak tahu betapa risikonya ia,” katanya.
Dr Ajit mengaui beberapa negara mulai mencampurkan vaksin tetapi mendakwa ia dilakukan kerana tiga sebab - bekalan vaksin yang tidak mencukupi, kesan sampingan dari vaksin tertentu dan juga kos vaksin.
Setakat semalam, sebanyak 21.6 juta atau 66.1% vaksin sudah diberikan sepenuhnya kepada populasi umum.
Daripada jumlah itu, 21.2 juta adalah orang dewasa. – 13 Oktober, 2021.
Komen