Kumpulan sivil mahu kerajaan ambil tindakan terhadap pendakwah


Alfian Z.M. Tahir

Hampir 3,000 laporan polis sudah dibuat di seluruh negara terhadap pendakwah Syakir Nasoha. – Gambar Youtube, 14 Oktober, 2021.

GESAAN penangkapan pendakwah Syakir Nasoha semakin kuat dengan kumpulan masyarakat sivil mendesak Putrajaya agar tidak menutup mata terhadap ucapan kebencian yang akan menggugat hubungan antara kaum di negara ini.

Mereka meluahkan kebimbangan Syakir akan terlepas seperti yang berlaku terhadap Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, Firdaus Wong Wai Hung dan Zakir Naik selepas mencemuh agama lain.

Syakir dalam satu rakaman video menuduh penganut bukan Islam mahu membunuh orang Islam di dunia pada akhir zaman, dalam ucapan yang dibuat di sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah pada 2017. Video itu menjadi viral minggu lalu.

Hampir 3,000 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Syakir, yang didakwa membuat kenyataan mengapi-apikan terhadap agama lain.

Majlis Perundingan Malaysia mengenai Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dan bertindak terhadap Syakir.

“Kami mendesak perdana menteri dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Syakir mengikut undang-undang kerana beliau dengan jelas melanggar undang-undang Malaysia dan ucapannya cenderung menyebabkan niat buruk dan perpecahan di antara pelbagai kepercayaan di Malaysia,” kata seorang jurucakap kumpulan itu.

“Sebagai seorang ustaz, beliau disanjung tinggi oleh masyarakat Islam. Kenyataan Syakir Nasoha cenderung menghasut orang Islam terhadap penganut bukan Islam dan menyebabkan kemudaratan terhadap mereka.

“Hasutan sedemikian oleh mana-mana orang harus dikutuk oleh semua pihak dan diambil tindakan tegas agar menjadi pengajaran bagi semua orang,” katanya.

Kumpulan antara agama itu menyebut ucapan Syakir sebagai usaha menyemai kebencian antara orang Islam dan penganut bukan Islam.

“Ini juga sama dengan menghasut rakyat Malaysia yang harmoni. Ustaz itu jelas merupakan ancaman terhadap kewujudan rakyat Malaysia yang aman dan harmoni,” kata jurucakap itu. – 14 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen