KIRA-KIRA 3,000 laporan polis akan dibuat di seluruh negara hari ini terhadap pendakwah Syakir Nasoha berhubung satu video tular yang memperlekehkan agama bukan Islam dan juga masyarakat Dayak, kata Persekutuan Hak Asasi Manusia Global.
Presidennya, S. Shasi Kumar berkata, kumpulan masyarakat sivil dan aktivis akan membuat laporan polis di 17 daerah di seluruh negara hari ini, termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kami, orang bukan Islam sudah muak. Cukup. Ini adalah serangan yang disengaja terhadap orang bukan Islam.
“Kami membuat laporan polis ini kerana kami mahu pendakwah ini segera ditangkap dan didakwa.
“Terdapat banyak kes di mana mereka yang menghina dan memfitnah orang bukan Islam hanya ditangkap, tetapi tidak didakwa,” kata Shasi kepada wartawan selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Beberapa wakil dari Sabah dan Sarawak turut hadir di Balai Polis Sentul untuk membuat laporan yang sama.
Dalam video seminit yang tular di media sosial sejak Jumaat, Syakir memetik hadis yang beliau terjemahkan berbunyi: “akhir zaman nanti, musuh-musuh Islam akan mengerumuni kamu sebagaimana orang mengerumuni talam yang penuh dengan makanan, berebut hendak makan.”
“Begitu juga, hari ini orang kafir berebut nak bunuh umat Islam,” katanya.
Beliau juga mendakwa umat Islam di Thailand dan India masing-masing dibunuh oleh penganut Buddha dan Hindu, yang katanya juga ada di negara ini.
Syakir juga membuat kenyataan yang menyinggung masyarakat Dayak apabila mendakwa mereka merogol dan menyembelih umat Islam di Indonesia dan Papua New Guinea. – 3 Oktober, 2021.
Komen