Majikan wajar pecat pekerja tolak vaksin Covid-19, kata persekutuan


Ravin Palanisamy

MEF berkata pekerja yang enggan divaksin boleh dikenakan tindakan mengikut AKKP 1994 kerana menyebabkan suasana tempat kerja tidak selamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2021.

PEKERJA yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 atas alasan peribadi atau kesihatan wajar diberhentikan, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata langkah itu perlu kerana individu yang menolak vaksin boleh mendedahkan risiko jangkitan di tempat kerja dan mengancam kesihatan pekerja lain.

Pekerja yang enggan divaksin ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 kerana menyebabkan suasana tempat kerja yang tidak selamat, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Pekerja yang enggan divaskin perlu dikenakan tindakan di bawah AKKP kerana mereka tidak mengambil tindakan wajar dalam memastikan keselamatan dan kesihatan diri sendiri serta rakan sekerja.

“MEF menyarankan majikan mengeluarkan garis panduan yang jelas berkenaan vaksin dan cara untuk menangani pekerja yang menolak vaksin.

“Mereka yang enggan divaksin tanpa alasan munasabah hendaklah diberi tempoh untuk mengambil suntikan, kemudian diberhentikan jika gagal berbuat demikian.

“Bagi yang tidak boleh divaksin kerana masalah kesihatan pula mereka perlu dipecat kerana jelas tidak boleh bekerja atas faktor kesihatan,” katanya.

Syed Hussin menambah, oleh kerana virus Covid-19 satu ancaman di tempat kerja maka majikan perlu melaksanakan langkah kawalan, antaranya mewajibkan vaksinasi.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara – pemeriksaan suhu badan, pengesanan gejalam penjarakan fizikal, mengelak tempat sesak serta sentiasa mencuci tangan dan memakai pelitup muka – hanyalah langkah bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Ia masih tidak mengurangkan kesan jangkitan. Oleh itu, vaksin mesti menjadi sebahagian syarat dalam mengawal penularan.

“Statistik di laman web CovidNow menunjukkan kadar vaksinasi berjaya mengurangkan jumlah pesakit di hospital dan kes kematian. Ini membuktikan keberkesanan vaksin,” katanya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bulan lalu berkata kerajaan dan majikan perlu menghormati hak serta kebebasan individu yang enggan divaksin atas pelbagai sebab.

Suhakam mendedahkan badan hak asasi itu sudah menerima beberapa aduan dakwaan diskriminasi daripada individu yang belum divaksin termasuk halangan kembali bekerja dan larangan memasuki premis awam serta dipaksa membayar kos ujian saringan Covid-19.

Mengulas perkara ini, Syed Hussin berkata tindakan majikan yang menghalang pekerja tidak divaksin datang bekerja tidak boleh dikelaskan sebagai diskriminasi kerana AKKP 1994 menuntut majikan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan tidak mengancam kesihatan. – 13 Oktober, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen