Suhakam gesa henti diskriminasi individu belum lengkap, tolak vaksin Covid-19


Suhakam sudah menerima laporan beberapa individu yang mendakwa disekat hak asasi kerana belum divaksin penuh atau menolak vaksinasi Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2021.

KERAJAAN dan majikan perlu menghormati hak dan kebebasan individu untuk enggan divaksin disebabkan pelbagai sebab, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), hari ini.

Dalam kenyataan itu, Suhakam berkata walaupun wujud beberapa sekatan dikenakan kepada mereka yang belum divaksin penuh seperti makan di restoran, ia bagaimanapun tidak boleh menghalang hak asasi individu seperti akses kepada pendidikan, makanan dan rawatan perubatan.

Katanya, sekatan semasa sepatutnya hanya sebagai langkah sementara sehingga imuniti kelompok dicapai atau apabila pandemik mula beralih memasuki fasa endemik.

Suhakam mendedahkan badan hak asasi itu sudah menerima beberapa aduan dakwaan diskriminasi daripada individu yang belum divaksin termasuk halangan kembali bekerja dan larangan memasuki premis awam serta dipaksa membayar kos ujian saringan Covid-19.

“Suhakam mengingatkan majikan untuk tidak menetapkan keperluan vaksinasi mandatori kepada pekerja atau mengenakan denda kepada pekerja yang enggan divaksin, sebaliknya majikan boleh menawarkan insentif bagi menggalakkan pekerja untuk divaksinasi.”

Suhakam juga mendesak kerajaan dengan serta merta menangani isu itu dengan menyeimbangkan pendekatan antara keutamaan kesihatan awam dan hak asasi individu berkaitan yang berhak mendapat layanan adil.

“Kerajaan perlu melihat kepada kemungkinan untuk meluaskan peranan dan fungsi Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) dengan memanjangkan bantuan kepada pekerja yang mempunyai pertikaian berkaitan isu Covid-19, termasuk status vaksinasi, dengan majikan mereka,” kata kenyataan lagi.

Setakat semalam, 82.5% populasi dewasa Malaysia sudah menerima vaksin penuh.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata jawatankuasa juga sedang berusaha melibatkan  20% populasi dewasa lagi yang belum atau enggan menerima vaksin. – 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen