Bentuk jk khas siasat peguam negara, kematian lain juga, kata Guan Eng


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Putrajaya perlu bersikap adil dengan menubuhkan jawatankuasa khas siasat kematian dalam tahanan polis, Teoh Beng Hock, selain siasat Peguam Negara Idrus Harun kerana melanggar titah Yang di-Pertuan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2021.

KERAJAAN perlu juga tubuh jawatankuasa khas menyiasat kes kematian lain seperti Teoh Beng Hock dan kematian dalam tahanan polis, selain kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Walau DAP menyambut baik langkah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membentuk jawatankuasa khas bagi menyiasat kematian Adib, namun beliau berkata perkara serupa juga perlu dibuat terhadap mangsa lain yang terkorban dalam tahanan pihak berkuasa, bagi memastikan tidak ada unsur politik atau balas dendam.

“Jika ada jawatankuasa khas bagi Adib, kenapa tidak ada jawatankuasa khas bagi Teoh Beng Hock dan kematian dalam tahanan polis juga?

“Ada keperluan untuk cari keadilan bagi mereka yang hilang nyawa mereka ketika ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis. Setiap nyawa sangat berharga,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan.

Pada 2009, Teoh, yang merupakan setiausaha politik exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan sama.

Suruhanjaya siasatan kerajaan itu menyimpulkan Teoh bunuh diri kerana kaedah siasatan agresif digunakan oleh pegawai SPRM. Tiga pegawai SPRM turut dipersalahkan kerana menggunakan kaedah agresif, yang dikatakan melanggar prosedur.

Semalam, Ismail berkata kerajaan akan membentuk jawatankuasa khas bagi menyiasat semula kematian Adib, Pulau Batu Puteh dan isu dibangkitkan bekas peguam negara Tommy Thomas.

Adib, 24, yang merupakan anggota bomba cedera parah semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, pada 27 November 2018, dan meninggal 21 hari kemudian di Institut Jantung Negara.

Siasatan koroner ke atas kematiannya mendapati ada bukti bercanggah dikemukakan ahli patologi forensik. Walaupun inkues itu menyimpulkan kematiannya akibat tindakan jenayah yang melibatkan lebih daripada dua orang, namun pihaknya tidak dapat mengenal pasti siapa penyerang itu.

Polis, yang diberitahu untuk menyiasat semula kes itu tahun lalu, cuma mendakwa 12 suspek itu sebagai terlibat dalam perhimpunan haram.

Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata pembentukan jawatankuasa khas itu bermaksud kerajaan pusat mengaku gagal selesaikan masalah tersebut.

Katanya pemimpin kerajaan ketika ini menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu yang tidak menangkap pembunuh dan mendakwa mereka di mahkamah.

“Sekarang mereka berada dalam kerajaan, nampaknya dalam 20 bulan lepas ini mereka sudah hilang minat terhadap kes Adib memandangkan tidak ada yang ditangkap dan didakwa atas pembunuhannya.

“Hanya apabila diingatkan berulang kali oleh ahli Parlimen PH tentang janji mereka berkaitan Adib, barulah kerajaan putuskan untuk tubuh jawatankuasa khas bagi Adib,” katanya.

Selain itu, Lim berkata kerajaan juga perlu bentuk jawatankuasa khas bagi menyiasat Peguam Negara ketika ini Idrus Harun jika mereka turut siasat rekod lama Tommy Thomas.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, Idrus juga telah salah guna kedudukannya, malah Lim mencadangkan agar seorang bekas ketua hakim mengetuai jawatankuasa khas menyiasat Idrus.

“Idrus Harun telah mengundang kontroversi dengan membatalkan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa beberapa ahli politik yang menyokong kerajaan Persekutuan sekarang.

“Idrus juga bertindak melawan titah Agong dengan mempertikaikan perintahnya agar Parlimen bersidang serta mengenai pengisytiharan darurat dibahas dan diputuskan di Parlimen. Kesalahan ini sama serius. Beliau perlu disiasat jawatankuasa khas diketuai bekas Ketua Hakim,” kata Lim.

Semalam, kerajaan berkata akan membentuk jawatan khas untuk menyiasat tuntutan yang dibuat dalam memoir Thomas.

Ia berkata jawatankuasa itu akan menyiasat tuduhan Thomas mengenai salah kuasa dalam pelantikan hakim, campur tangan politik dalam keputusan kehakiman, pendakwaan politik dan terpilih, serta pelanggaran terhadap sumpah rahsia. – 10 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen