Surat kepada Syed Saddiq: Salah faham terhadap ilmu


Naim Al-Kalantani

SALAM saya kepada Yang Berhormat Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Saya berharap YB dalam keadaan sihat sejahtera. 

Baru-baru ini YB berucap di Dewan Rakyat berkenaan cadangan untuk memansuhkan beberapa kursus untuk memendekkan tempoh masa pengajian di universiti. 

Subjek-subjek yang YB sebutkan tempoh hari kebanyakannya berkisar dalam skop ‘subjek wajib’. Ucapan tersebut telah menggerakkan saya untuk membantah sekeras-kerasnya dapatan YB.

Rentetan itu, YB juga memuat naik post di Facebook berkenaan ini dan saya membacanya dengan berhati-hati. YB bersikeras dalam mempertahankan pandangan ini.

Yang Berhormat,

Apabila YB berkata sedemikian dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan hujah YB berkenaan ini, saya teringat tulisan Pramoedya Ananta Toer dalam adikaryanya, Bumi Manusia yang menulis, “Apakah guna sekolah-sekolah didirikan kalau toh tak dapat mengajarkan mana hak mana tidak, mana benar dan mana tidak?”

Pendidikan adalah ilmu. Pendidikan adalah cara untuk mendapatkan ilmu. Tujuan mendapatkan atau menuntut ilmu pula, menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin, bagi mengeluarkan, mengasuh dan memupuk manusia yang sempurna. 

Kaedah untuk mengukur ilmu bukanlah berbasiskan kebolehpasaran kerja sesuatu bidang yang dipelajari dalam sesebuah universiti. Tugas universiti untuk membentuk seorang manusia menjadi manusia – memanusiakan manusia. 

Universiti bukan sekadar sebuah kilang produk untuk menghasilkan tukang-tukang kerja. Peranan universiti untuk menjadikan seorang pelajar itu dapat berfikir dengan betul.

Yang Berhormat,

Subjek-subjek yang YB sebutkan semasa perbahasan di Dewan Rakyat tempoh hari, dan di Facebook, merupakan subjek wajib yang perlu diambil oleh setiap pelajar dan wajib lulus. YB pun menyarankan subjek ini diletakkan di bawah kursus elektif sahaja. 

Saya di sini mengambil jalan tengah untuk memahami dapatan YB. Saya memahami tesis perbahasan YB ialah “pendidikan kita terlalu lama jika nak dibandingkan dengan negara luar yang lebih singkat untuk masuk ke bidang pekerjaan.”

Dari itu, saya membuat telahan dengan menyatakan bahawa YB hanya mahukan graduan-graduan emas yang kita ada sekarang ini menjadi ‘produk’, bukan menjadi ‘manusia’. 

Saya menyemak kembali Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan “tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni…” 

‘Nilai murni’ yang disebutkan mungkin ada dalam subjek teras atau subjek wajib fakulti, tetapi saya yakin dan percaya ia tidaklah banyak. 

Dapatkah nilai murni diakses melalui subjek Calculus dan Algebra? Melalui subjek elektif inilah mahasiswa dilatih bukan untuk menjadi seorang ahli falsafah atau penggubal dasar, tetapi menetapkan pemikiran para pelajar untuk berfikir dengan betul.

Jika saya tidak keterlaluan, izinkan saya membuat satu persepsi. Pekerja lepasan universiti mempunyai cara pandang (worldview) yang berbeza dengan pekerja yang tidak dapat pendidikan melalui universiti. 

Cara fikir ini sebenarnya menimbulkan jurang yang besar. Universiti memang diasosiasikan dengan kepintaran mahasiswa. Mahasiswa yang mengambil pelbagai subjek di universiti membolehkan mereka merangkum pemikiran-pemikiran dalam subjek-subjek tersebut untuk membuat satu keputusan yang tepat dan memenuhi nilai-nilai moral.

Cara berfikir dengan betul ini yang diajar dalam kelas-kelas di universiti. 

Apabila seorang bergelar mahasiswa, mereka dicurahkan dengan cara untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah di dalam subjek tersebut. Contohnya seperti kursus Tamadun Islam, Falsafah, bahkan Pengajian Malaysia sekalipun – dalamnya terdapat satu esensi atau nilai yang dinamakan pendidikan kritis.

Yang Berhormat,

Ketika saya mendapat pendidikan di sekolah pondok, saya diberitahu untuk seseorang menjadi alim sekurang-kurangnya perlu ‘mengaji’ lebih 10 tahun. Kebanyakan ulama-ulama klasik, atau sehingga kini pun, jika ditelusuri biografinya, bukanlah satu perjalanan ringkas. 

Untuk bersikap adil dalam hal ini, saya terlebih dahulu mengakui bahawa ilmuwan Islam ini bukan menuntut ilmu disebabkan untuk mencari kerja. 

Ketimbang dengan YB, hanya berharap untuk graduan lepasan ijazah mendapatkan pekerjaan seperti graduan luar negara. Di sinilah perbezaannya tetapi kita sama-sama boleh bersetuju dengan nilainya. 

Dalam pengajian ulama-ulama ini, bukanlah berfokus hanya kepada satu bidang ilmu sahaja, bahkan mereka wajib mempelajari ilmu-ilmu lain terutamanya Falsafah.

Saya memetik tulisan A. Murad Merican dalam rencananya di Utusan Malaysia lebih sedekad lalu. Beliau menyatakan bahawa universiti-universiti yang diiktiraf sebagai terbaik dunia mengekalkan kecemerlangan bidang-bidang sains sosial, ilmu kemanusiaan, dan falsafah. Sedangkan di Malaysia mengabaikan korpus ini. 

Menurut Murad, universiti kita tiada Jabatan Falsafah. Beliau gusar dan bertanya bagaimana dapat kita mengajar pelajar kita berfikir dan bersoal; bagaimana dapat ahli akademik kita melahirkan keaslian pemikiran dan idea?

Rencana yang ditulis pada 2010 ini sebenarnya tempelak besar ke atas hujahan YB di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Untuk mendapat intipati yang benar-benar berkesan dalam satu-satu bidang, ia bukan mengambil masa tiga atau empat tahun seperti yang YB harapkan. Oleh sebab itulah selepas pengajian ijazah rendah, kita turut ada pengajian ijazah tinggi dan ijazah kedoktoran. 

Rata-rata sahabat, pemikir, dan ilmuwan menyatakan bahawa ijazah itu tidak cukup sekadar untuk menilai keberkesanan ilmu terhadap seseorang. Jika mahu menikmati keilmuan yang betul-betul berfokus, ia perlu meniti di jalan yang panjang ijazah tinggi dan kedoktoran. 

Di sinilah kekhilafan YB, menyatakan bahawa produk ijazah hanya untuk kebolehpasaran pekerjaan dan seolah-olah tidak memandang pendidikan yang lebih tinggi. 

Hujahan YB di Parlimen dan di Facebook itu seolah-olah tahap pendidikan kita mati di peringkat ijazah rendah sahaja dan terus menjadi tukang-tukang kerja untuk syarikat-syarikat tertentu.

ZF Zamir menulis buku yang menggegarkan dunia pendidikan Malaysia pada dekad lalu. Al-Mustaqeem Mahmud Radhi menulis tiga jilid buku dalam menekuni masalah yang sama awal dari itu lagi. 

Pemikir dan ilmuwan Islam telah lama berhujah mengenai ini. Paulo Freire, Edward W. Said, Al-Attas, Wan Mohd Nor Wan Daud, dan ramai lagi integensia telah menjawab persoalan YB ini mungkin sebelum YB lahir lagi. 

Hujahan pendek YB tersebut saya kira hanya mendapat tawa pemikir-pemikir ini sahaja.

Yang Berhormat,

Paling saya pelik dan penasaran, apalah perasaan ‘jiran’ YB, Maszlee Malik yang berada di sebelah YB di Dewan Rakyat – yang mana satu ketika dahulu dialah antara pemikir yang telah lama menjawab persoalan-persoalan YB ini. 

Saya harap YB merenung kembali hujahan YB di Parlimen tempoh hari. 

Saya risaukan anak muda akan tersalah anggap mengenai ini akan terikut-ikut dapatan YB yang mungkin akan memusnahkan kemanusiaan dalam diri mahasiswa-mahasiswa ini. – 9 Oktober, 2021.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen