PENGASAS entiti perdagangan forex JJ Poor to Rich (JJPTR) Johnson Lee dan dua pembantunya yang dibebaskan di Pulau Pinang dan kemudian ditahan semula hari ini bagi membantu siasatan polis terhadap syarikatnya atas dakwaan menipu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Abdul Ghani Ahmad berkata Lee ditahan di Pulau Pinang bersama dua pembantunya hari ini.
“Dia akan direman esok di mahkamah Bukit Mertajam sebelum tengah hari,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lee, 28, dan dua pembantunya sebelum ini ditahan di Petaling Jaya pada Selasa. Tahanan reman mereka yang diperintahkan Mahkamah Majistret Klang berakhir pada Jumaat jam 5 petang, kata peguam mereka .
Katanya, ketiga-tiga individu itu sepatutnya direman di mahkamah Bukit Mertajam pagi ini.
“Tetapi kami difahamkan nama mereka tidak ada dalam senarai reman mahkamah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lee dan dua pembantunya dibawa ke mahkamah jam 9.30 pagi ini. Mereka tiba dalam trak polis bersama suspek kesalahan lain.
Memakai baju lokap polis berwarna ungu dan tidak berkasut, mereka bertiga digari bersama suspek kes lain. Mereka meninggalkan mahkamah kira-kira jam 11 pagi.
“Ia seperti pertunjukan. Polis bawa mereka, bergari dengan yang lain, tetapi tidak mereman mereka,” kata Jaya Prem.
Peguam itu yang tidak berada di mahkamah pagi tadi, mempersoalkan penahanan anak guamnya yang tanpa direman.
Mengikut undang-undang polis hanya boleh menahan seseorang maksimum 24 jam untuk melengkapkan siasatannya. Bagi penahanan lanjut, polis perlu mendapatkan perintah reman.
“Polis kata mereka ditahan di Pulau Pinang hari ini. Tetapi selepas reman mereka berakhir jam 5 petang semalam hingga tengah malam, mereka masih berada dalam tahanan polis,” katanya.
Jaya Prem berkata beliau akan membangkitkan perkara itu di mahkamah esok.
Beliau berkata anak guamnya memberikan kerjasama penuh dengan penyiasat.
“Maklum balas yang saya terima mereka sangat bekerjasama. Setiap soalan diajukan, mereka jawab,” katanya.
Sebelum ini, Lee berkata dia akan menghadiri acara makan malam di Kuala Lumpur untuk bertemu JJPTR.
JJPTR yang memulakan perniagaan pada Mei 2015 menawarkan pelabur jaminan pulangan bulanan 20% untuk pelaburan serendah AS$25 hingga maksimum AS$1,000.
Semuanya berjalan lancar untuk syarikat dan 400,000 pelaburnya di Malaysia dan luar negara hingga penghujung bulan lalu apabila Lee mendakwa akaun perdagangan JJPTR digodam, menyebabkan kerugian lebih SS$400 juta (RM1.7 bilion).
Dakwaan godam itu membimbangkan pelabur dan sesetengahnya membuat laporan polis, yang menyebabkan polis mula menyiasat JJPTR kerana didakwa menpu.
Sejak hujung bulan lalu, pejabat JJPTR mengumpul maklumat ahli untuk mempercepatkan urusan pemulangan wang.
Lee sendiri memuat naik beberapa video di Facebook JJPTR sejak beberapa minggu lalu untuk memberi keyakinan kepada pelabur yang dia tidak melarikan diri dengan wang mereka dan sedang cuba membayar semula wang berkenaan.
Minggu lalu Lee muncul pada satu majlis anjuran Gerakan di Kuala Lumpur untuk mengembalikan wang kepada 100 pelabur yang kurang upaya.
Tetapi Jumaat minggu lalu, termasuk polis dan Bank Negara Malaysia menyerbu lapan premis JJPTR di Pulau Pinang dan merampas dokumen, komputer dan barangan lain.
Polis juga mengambil keterangan 1 kakitangan JJPTR dan empat pelabur untuk membantu siasatan. Sejak serbuan itu, pejabat JJPTR ditutup. – 20 Mei, 2017.
Komen