
TIADA Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi dakwaan kes kecurian di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau kematian pemaju hartanah di Pulau Pinang Selasa lalu, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Kriteria untuk RCI adalah berdasarkan kerumitan kes. Tiada kerumitan dalam kes ini,” kata menteri Parlimen dan undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini.
“Tambahan pula, kedua-dua kes itu sedang disiasat oleh polis atau SPRM.”
Wan Junaidi berkata kerajaan memutuskan untuk menubuhkan RCI bagi isu Tabung Haji adalah kerana isu melibatkan dana jemaah haji itu sudah lama.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chang Lih Kang (Tg Malim-PH) yang bertanya mengenai kriteria bagi menubuhkan RCI. Wan Junaidi turut menjawab soalan Salim Sheriff yang bertanya sama ada kerajaan akan menubuhkan RCI bagi menyiasat kematian pemaju hartanah pada Selasa.
Pemaju hartanah terbabit juga merupakan saksi dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melibatkan terowong dasar laut.
Sementara itu, Wan Junaidi juga tidak mengesahkan sama ada RCI akan ditubuhkan bagi kes melibatkan bekas peguam negara Tommy Thomas.
“Saya akan bangkitkan di Kabinet sama ada terdapat keperluan untuk RCI berhubung bukunya,” kata menteri itu.
Wan Junaidi menjawab pertanyaan Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling-BN) sama ada RCI akan ditubuhkan terhadap Thomas.
Umno telah meminta RCI ditubuhkan berkaitan bekas peguam negara, bagi melihat sama ada beliau memulakan perbicaraan rasuah terhadap pemimpin parti itu atas sebab politik.
Antara yang masih dibicarakan kerana rasuah adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor. – 7 Oktober, 2021.
Komen