SEORANG pemaju hartanah di Pulau Pinang, yang juga saksi dalam kes perbicaraan rasuah terowong dasar laut melibatkan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, ditemui mati hari ini, lapor The Star.
Ahli perniagaan berusia 53 tahun itu dikatakan meninggal dunia selepas jatuh dari kondominium di Pulau Tikus, George Town.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santon mengesahkan kejadian itu dan berkata satu kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mengesahkan ahli perniagaan itu adalah saksi dalam perbicaraan rasuah Lim.
Satu sumber memberitahu The Star yang SPRM dimaklumkan mengenai kematian saksi awal pagi ini.
“Kami terkejut mengetahui kematian saksi kami.”
Lim, yang juga menteri kewangan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, berdepan empat tuduhan berkaitan dengan projek terowong dasar laut.
Beliau didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan projek itu daripada Pengarah Urusan Konsortium Zenith BUCG Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, wang sogokan sebanyak RM3.3 juta untuk melantik syarikat Zarul menjalankan projek itu, dan dua lagi tuduhan berkaitan pelupusan tanah milik negeri bernilai RM208.7 juta kepada dua syarikat.
Perbicaraan bermula pada 13 Julai dan masih berjalan. – 5 Oktober, 2021.
Komen