AHLI Parlimen Pontian Ahmad Maslan menarik diri sebagai calon timbalan speaker Dewan Rakyat.
“Saya mahu fokuskan kepada tugas saya sebagai setiausaha agung Umno yang memerlukan banyak masa, terutamanya dengan situasi politik semasa,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Setiausaha agung Umno itu berkata beliau telah memaklumkan kepada partinya dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pagi ini.
“Perdana menteri akan menamakan orang lain dalam beberapa hari lagi bagi memenuhi 14 hari tempoh notis pencalonan,” katanya.
Persidangan Parlimen seterusnya akan bermula pada 25 Oktober hingga 16 Disember.
Ahmad Maslan merupakan antara dua ahli Parlimen yang dicadang bagi menggantikan Azalina Othman Said (Pengerang-BN) sebagai timbalan speaker selepas meletakkan jawatan pada Ogos. Seorang lagi ahli Parlimen yang turut disebut-sebut adalah Nga Kor Ming (Teluk Intan-PH).
Ditanya apakah keputusannya mempunyai kaitan dengan Perikatan Nasional (PN) yang menolak cadangan kerajaan untuk menambah timbalan speaker kepada tiga, Ahmad Maslan berkata keputrusannya dibuat semalam dan tiada kaitan dengan pendirian PN.
Bulan lalu The Malaysian Insight turut melaporkan ahli Parlimen Bersatu menolak Ahmad Maslan sebagai timbalan speaker baharu.
“Saya putuskan semalam sebelum kenyataan Perikatan hari ini.”
Katanya jawatan timbalan speaker tidak sesuai untuknya kerana beliau lebih suka berbahas di Parlimen.
“Saya suka berbahas dan soal kerajaan di Parlimen. Apa yang saya boleh buat sebagai timbalan speaker selain minta ahli Parlimen duduk atau tinggalkan dewan?” kata bekas timbalan menteri itu.
Mengenai calon seterusnya, Ahmad maslan berkata beliau berharap ia adalah daripada Umno.
Katanya timbalan speaker sebelum ini, Azalina adalah daripada Umno dan sewajarnya untuk lantik yang lain dari parti itu. – 7 Oktober, 2021.
Komen