Perikatan tolak cadangan tiga timbalan speaker


Muhyiddin Yassin berkata Perikatan Nasional berpandangan tidak ada keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi melantik timbalan speaker Dewan Rakyat yang ketiga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2021.

MAJLIS tertinggi Perikatan Nasional (PN) memutuskan tidak ada keperluan lantikan timbalan speaker ketiga untuk Dewan Rakyat, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata timbalan speaker ketiga bukan antara syarat dalam memorandum persefahaman kerajaan dengan pihak pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

“PN berpandangan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang terhad kepada isu yang dipersetujui dalam MoU transformasi dan kestabilan politik yang ditandatangani perdana menteri dan PH pada 13 September,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Meminda perlembagaan untuk menambah peranan timbalan speaker ketiga tidak dipersetujui di MoU itu. Maka tidak adil untuk mana-mana parti mendesak agak ia dilaksanakan.”

Muhyiddin berkata dua timbalan speaker seperti dinyatakan dalam Artikel 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan mencukupi untuk memastikan kelancaran menguruskan Dewan Rakyat.

Beliau berkata Artikel 57(3) juga menyatakan mana-mana ahli Parlimen boleh mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat jika speaker dan dua timbalannya tidak hadir.

Bulan lalu, pada hari pertama persidangan Parlimen, usul menggantikan timbalan speaker Azalina Othman Said dibatalkan.

Menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia kerana kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker ketiga untuk pembangkang.

Tindakan seumpama itu memerlukan pindaan dilakukan kepada Artikel 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu persetujuan dengan pembangkang, kerajaan berjanji untuk melakukan tiga perubahan besar sebelum pertengahan tahun depan.

Ia termasuk mewujudkan undang-undang anti lompat parti, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi, dan menetapkan had dua penggal untuk perdana menteri.

Beberapa perubahan dalam Parlimen juga termasuk dalam perjanjian itu, antaranya rang undang-undang perkhidmatan Parlimen, yang membolehkan Dewan diberikan kuasa autonomi terhadap kewangan dan pentadbirannya. – 7 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen