PERBUATAN mengkritik dan menyalahkan pelaburan China di Malaysia hanyalah permainan persepsi pihak tertentu, kata panelis sebuah forum diadakan semalam.
Pakar geopolitik Prof Dr Azmi Hassan berkata, walaupun inisiatif “One Belt, One Road” yang membawa pertambahan pelaburan di negara ini telahpun bermula sejak 2013, ia tidak menjadi buah mulut atau serangan pembangkang ketika itu.
“Sebenarnya mengkambing hitamkan China ini adalah percaturan politik, permainan persepsi pihak tertentu.
“Kalau kita ungkit kembali pada 2013, (soal) China tak timbul. Kambing hitam ketika itu adalah Amerika Syarikat. Malaysia Cina dah lama berdagang.
“Kalau kita tengok pertambahan pelaburan sejak 2013 hingga sekarang China nombor 4. Nombor satu masih Amerika Syarikat. Tapi China yang tetap jadi kambing hitam,” kata beliau dalam forum Pelaburan China ke Malaysia: Apa isu sebenarnya? anjuran Agenda Daily di Shah Alam semalam.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak tertentu tetapi dipercayai merujuk kepada pembangkang yang banyak kali menimbulkan bantahan tentang pelaburan China.
Pelaburan China dalam projek pembangunan di Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, termasuk dalam projek East Coast Rail Link, melibatkan kos AS$13 bilion (RM51 bilion), Malacca Gateway (AS$10 bllion) dan Forest City di Johor (AS$100 bilion).
Pembangkang khususnya bakal calon perdana menteri mereka Dr Mahathir Mohammad menjadikan isu pelaburan China sebagai kritikan utama sejak tahun lalu.
Azmi yang juga pensyarah di Perdana School, Universiti Teknologi Malaysia berkata kesemua pelaburan tersebut merupakan perkara biasa dan dijaga oleh pihak berkuasa seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan China tidak boleh melakukan sesuka hati mereka.

“Saya lebih yakin dengan MIDA, MIDA yang kawal peraturan. China ikut saja,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Exco Pemuda Umno Shahril Hamdan berkata tuduhan China menjajah itu agak tempang apabila mereka menyemak data yang diperoleh daripada semua pihak secara terbuka seperti jumlah nilai pelaburan itu sendiri.
Malah China hanyalah negara keempat tertinggi kadar pelaburan luar negara langsung (FDI) negara ini di belakang Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura.
“Dalam konteks China kambing hitam. Datanya yang saya baca. Stok, kedudukan pelaburan China ialah RM 15 Billion. Total FDI RM 558 Billion. Tak sampai 3 peratus pelaburan Cina berbanding negara lain.
“Data terbaru tahun 2016 direct cash flow (aliran matawang) hanya RM 5.9 billion. Singapura lebih tinggi iaitu RM 7 billion.
“Saudi Armco buat pelaburan lebih besar di Pengerang. Tak jadi isu. Mungkin ada masalah perkauman. Tapi saya dengar Pakatan ini lebih liberal, demokratik.
“(Jadi) Kita kena rasional dalam soal ini lihat data dan statistik,” kata beliau.
Sementara itu seorang lagi panelis, perunding keselamatan Kapten (B) Rahmat Omar pula menafikan hubungan Umno dan Parti Komunis China sebagai satu kebimbangan bersifat ideologi.
Beliau berkata Malaysia sentiasa mengamalkan dasar berkawan dan terbuka dan bekas Perdana Menteri Kedua Abdul Razak Hussein mula menjalinkan hubungan dengan China pada 1974, selepas negara itu menarik sokongan kepada Parti Komunis Malaya.
“Dan kemudian, memang betul Parti Komunis Cina tamatkan sokongan terhadap PKM. Dan dari situlah PKM mula jatuh sebab tiada sokongan lagi.
“Malaysia selalu amalkan limited bandwagon. Dia tak kata pro western (barat) atau pro China. Selalunya kata saya baik dengan awak, saya juga baik dengan dia,” kata beliau.
Rahmat menambah Mahathir sewaktu menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 turut mempunyai hubungan dagang baik dengan China.
“Tun Mahathir dulu sendiri kata China kalau nak jajah kita 2000 tahun dulu dah buat.
“Tun sendiri kata China rakan dagangan yang bagus,” kata beliau.
Kini, pemimpin pembangkang berusia 93 tahun itu merupakan pengkritik Najib paling utama dan mendakwa perdana menteri menjual kedaulatan negara kepada China.
Pada Selasa, Najib menangkis dakwaan seteru politiknya bahawa kedaulatan Malaysia kini tergadai apabila China membuat pelaburan besar di negara ini.
Najib berkata dakwaan itu tidak berasas kerana pelaburan langsung luar negara (FDI) dari China adalah jauh lebih rendah berbanding dari negara lain.
“Bila bercakap mengenai FDI, anda mungkin sudah mendengar daripada ahli politik tidak bertanggungjawab yang sebar dakwaan menakutkan mengenai FDI dari China, dengan mengatakan kami menjual kedaulatan.
“Saya tahu hadirin yang berpengetahuan dan berpelajaran di sini mengiktiraf betapa ini perkara tidak masuk akal dan tidak berasas.
“Kerajaan saya tidak akan sekali-kali mengorbankan seinci pun kedaulatan kami,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di hadapan pelabur asing yang hadir di acara Invest Malaysia 2018. – 25 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan