PERDANA Menteri Najib Razak menangkis dakwaan seteru politiknya bahawa kedaulatan Malaysia kini tergadai apabila China membuat pelaburan besar di negara ini.
Najib berkata dakwaan itu tidak berasas kerana pelaburan langsung luar negara (FDI) dari China adalah jauh lebih rendah berbanding dari negara lain.
“
“Saya tahu hadirin yang berpengetahuan dan berpelajaran di sini mengiktiraf betapa ini perkara tidak masuk akal dan tidak berasas.
“Kerajaan saya tidak akan sekali-kali mengorbankan seinci pun kedaulatan kami,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di hadapan pelabur asing yang hadir di acara Invest Malaysia 2018 hari ini.
Najib yang juga menteri kewangan berkata, FDI dari Jepun adalah lebih tinggi berbanding dari China.
“Mungkin saya boleh ambil peluang untuk mengingatkan anda bahawa dalam masa kami menerima RM63 bilion dalam stok FDI dari China dan Hong Kong, kami menerima lebih banyak lagi – secara tepatnya RM70 bilion – dari Jepun, tetapi anda tidak pula mendengar amaran bahawa kami menjual negara pada Jepun.”
Laporan sebelum ini menyebut, Najib berkata Jepun merupakan pelabur asing utama sejak 1980-an dan kedua terbesar selepas Singapura.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab membawa masuk sebahagian besar pelabur Jepun sepanjang tempoh pentadbirannya selama 22 tahun.
Kini, pemimpin pembangkang berusia 93 tahun itu merupakan pengkritik Najib paling utama dan mendakwa perdana menteri menjual kedaulatan negara kepada China.
Najib hari ini berkata pelaburan China dijalankan secara dua hala, dan ia berubah dari masa ke masa termasuk pelaburan Malaysia ke negara itu.
“Perlu ingat pelaburan Malaysia di China lebih besar dari pelaburan China ke dalam Malaysia, dan kita mempunyai lebih banyak pelaburan Malaysia di luar negara berbanding FDI di dalam negara.
“Jadi ini pelaburan dua hala. Tahap FDI berubah-ubah mengikut masa, dan hubungan seperti itu adalah sebahagian dan kunci kepada ekonomi yang sihat dan pelbagai.”
Pelaburan China dalam projek pembangunan di Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, termasuk dalam projek East Coast Rail Link, melibatkan kos AS$13 bilion (RM51 bilion), Malacca Gateway (AS$10 bllion) dan Forest City di Johor (AS$100 bilion). – 23 Januari 2018
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan