PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan wang persaraan kurang RM10,000 tidak bimbang kerana mereka merasakan masih mempunyai masa yang mencukupi untuk menyimpan dan menokok wang simpanan mereka.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, wang persaraan dikeluarkan melalui skim i-Sinar dan i-Citra semasa pandemik Covid-19 bagi membantu menjalani kehidupan dalam tempoh sukar, tetapi ramai juga yang mengatakan semula wang tersebut dilaburkan semula dalam skim pembiayaan lain.
Ada juga yang berkata mereka tidak benar-benar bimbang mempunyai dana kurang dari RM10,000 kerana merasakan masih boleh mengumpul wang sebelum bersara berikutan masih berada di bawah usia 30 tahun.
KWSP pada Jumaat lepas berkata bahawa 46% pencarum di bawah usia 55 tahun mempunyai baki akaun simpanan persaraan kurang dari RM10,000.
Ini melibatkan kira-kira 5.8 juta penyumbang menerusi data yang diperoleh pada 31 Ogos lepas.
Daripada penyumbang ini, 19% mempunyai kurang dari RM1,000 sementara 18% mempunyai antara RM1,000 hingga RM5,000 dalam simpanan mereka.
Sebanyak 9% lagi mempunyai antara RM5,000 hingga RM10,000 simpanan, kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Irsyad Mohamad Hatib, 29, memberitahu The Malaysian Insight bahawa dia tidak mempunyai pilihan selain menggunakan simpanan tersebut kerana berdepan masalah kewangan.
Dia bagaimanapun tetap yakin dapat menampung wang yang digunakan selama setahun dalam beberapa tahun.
“Saya masih mencarum KWSP setiap bulan. Pada usia saya, saya dapat menabung lebih banyak tetapi saya perlu bekerja dan saya akan berusaha lebih kerana saya mempunyai keluarga.
“Saya tidak terlalu risau. Saya masih muda dan masih ada 20 tahun lagi untuk saya bekerja,” katanya.
Farisha Amiera, 23, berkata, dia tidak terlalu bimbang tentang masa depannya sambil menambah dia sudah menggunakan skim i-Sinar dan i-Lestari.
“Saya rasa saya adalah antara mereka yang mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 tetapi saya sudah membuat pengiraan dan apabila saya bersara, saya akan mempunyai simpanan yang mencukupi untuk waktu tua nanti.
“Bagaimanapun itu bergantung pada berapa lama lagi wabak akan menjejaskan kehidupan kita. Saya menggunakan kedua-dua skim ini untuk perbelanjaan harian saya dan saya membeli-belah. Saya menganggur selama tiga bulan,” kata pembantu doktor haiwan itu.
Sejak wabak Covid-19 melanda tahun lalu, kerajaan membenarkan pencarum KWSP yang pendapatannya terjejas akibat PKP untuk membawa keluar dana persaraan mereka melalui skim i-Sinar dan i-Lestari.
Pada Jun, kerajaan memperkenalkan skim i-Citra di bawah pelan rangsangan ekonomi Pemulih untuk pencarum KWSP di bawah usia 55 tahun.
Ini membolehkan pencarum mengeluarkan wang sehingga RM5,000 dari Akaun 1 dan 2 serta tertakluk kepada jumlah dalam akaun simpanan. Pembayaran dibuat dalam jangka masa lima bulan dengan jumlah tetap RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.
Sebanyak lima juta penyumbang memohon kemudahan i-Citra dan RM20.8 bilion diluluskan untuk dibawa keluar dengan RM9.1 bilion disalurkan sehingga kini.
Di bawah i-Sinar, 6.6 juta pencarum KWSP memohon dan RM58.5 bilion dikeluarkan. – 28 September, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen