SEBANYAK 46% pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah usia 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka, kata kumpulan itu hari ini.
Ini melibatkan kira-kira 5.8 juta penyumbang menerusi data yang diperoleh pada 31 Ogos lepas.
Daripada penyumbang ini, 19% mempunyai kurang dari RM1,000 sementara 18% mempunyai antara RM1,000 hingga RM5,000 dalam simpanan mereka.
Sebanyak 9% lagi mempunyai antara RM5,000 hingga RM10,000 simpanan, kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, lebih separuh pencarum berusia di bawah 55 tahun iaitu 54% mempunyai simpanan lebih RM10,000 di dalam akaun KWSP mereka.
Sejak wabak Covid-19 melanda tahun lalu, kerajaan membenarkan pencarum KWSP yang terjejas pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membawa keluar sebahagian dana persaraan mereka melalui skim i-Sinar dan i-Lestari.
Bekas ketua pegawai eksekutif KWSP Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias memberi amaran sebelum ini bahawa skim ini akan menjejaskan simpanan masa depan pencarum.
Pada Jun, kerajaan memperkenalkan skim i-Citra di bawah pelan pemulihan ekonomi Pemulih untuk pencarum KWSP di bawah usia 55 tahun.
Ia membolehkan mereka mengeluarkan wang sehingga RM5,000 dari Akaun 1 dan 2 tertakluk kepada jumlah dalam akaun.
Pembayaran dibuat dalam jangka masa lima bulan dengan jumlah tetap RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baru Amir Hamzah Azizan dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa pengeluaran melalui skim i-Sinar dan i-Citra melibatkan pengeluaran sejumlah RM67.6 bilion.
Lima juta penyumbang memohon kemudahan i-Citra dan RM20.8 bilion dipersetujui untuk dikeluarkan dengan RM9.1 bilion disalurkan sehingga kini.
Di bawah i-Sinar, 6.6 juta pencarum KWSP memohon dan RM58.5 bilion dikeluarkan.
Melihat pada jumlah pencarum di bawah usia 55 tahun yang mempunyai kurang dari RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, Amir berkata terdapat penurunan ketara dalam jumlah anggota yang memenuhi ambang simpanan asas sebanyak RM240,000 sebagai simpanan persaraan pada usia 55 tahun.
“Pandemik ini telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai simpanan asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus, susulan pengeluaran yang telah dibuat bagi menampung pendapatan mereka semasa krisis ini,” katanya.
Amir Hamzah berkata strategi utama KWSP pada masa hadapan adalah untuk memastikan pekerja gig serta mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk diserap ke dalam Skim KWSP agar mereka turut berpeluang menabung seawal mungkin dan merancang persaraan. – 24 September, 2021.
Komen