Rentas negeri dimuktamad pertengahan Oktober, kata Hishammuddin


Ismail Sabri menyatakan larangan rentas negeri akan ditarik balik dalam beberapa minggu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2021.

KEBENARAN rentas negeri akan dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, selepas kerajaan mengambil beberapa langkah untuk mempercepatkan program suntikan vaksin kepada penduduk dewasa di seluruh negara.

Program vaksinasi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, yang menggerakkan pasukan perubatannya terutama ke kawasan pedalaman, katanya.

“(Kebenaran) rentas negeri Perdana Menteri akan umumkan. Kita akan cuba umumkan kelonggaran itu apabila kita capai 90 peratus vaksin dewasa dan apa perancangan yang kita lakukan bersama dengan pihak KKM kita dapat jayakan dalam tiga minggu lagi,” katanya, seperti dipetik Astro Awani di Johor Bahru.

Hishammuddin sebelum itu melawat pusat pemberian vaksin pandu lalu di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat Ulu Tiram, Johor.

Hishammuddin juga berkata kebenaran rentas negeri akan diumumkan selepas pihak berkuasa mengatur tatacara (SOP) pencegahan penularan wabak yang lengkap.

“Sebelum ianya diumumkan banyak perkara yang perlu kita fikirkan, SOP, tanggungjawab agensi dan sebagainya. Masa ini adalah untuk buat persiapan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membayangkan larangan pergerakan rentas negeri akan ditarik balik “dalam beberapa minggu lagi” apabila 90 peratus penduduk dewasa lengkap disuntik vaksin Covid-19.

Setakat Rabu lepas, 81 penduduk dewasa Malaysia sudah siap divaksin Covid-19, kata perdana menteri.

Kebenaran rentas negeri adalah antara kelonggaran yang diumum perdana menteri pada Rabu, yang akan dilaksanakan bersama pembukaan lebih luas sektor pelancongan di seluruh negara.

Pada masa ini, hanya pelancongan dalam negeri yang melibatkan rentas daerah sahaja dibenarkan selain gelembung khas pelancongan ke Pulau Langkawi, sebagai kebenaran perintis.

Sementara itu, Hishammuddin menafikan kerajaan mahu memansuhkan MyTravelPass dan berkata laporan mengenainya yang memetik sumber tidak benar.

Katanya, fokus kerajaan sekarang ialah untuk membenarkan pergerakan rentas negeri.

“Bagaimana kita hendak fikirkan rentas negara apabila rentas negeri pun belum kita putuskan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa kerajaan juga sedang meneliti aspek pergerakan rentas negara.

“Saya tidak menafikan bahawa perancangan untuk melihat kepada MyTravel Pass pendekatan kita untuk rentas negara sudah difikirkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan insya-Allah kita akan bentangkan dalam mesyuarat khas endemik yang akan dipengerusikan perdana minggu depan… dua-dua sekali,” katanya lagi.

MyTravel Pass adalah kebenaran khas ke luar negara yang mula diperkenalkan oleh kerajaan sejak pandemik Covid-19, yang memerlukan sesiapa yang hendak ke luar negara membuat permohonan kepada pihak imigresen. – 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen