PM beri bayangan rentas negeri dalam beberapa minggu lagi


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan kebenaran rentas negeri dalam beberapa minggu lagi selepas 81 peratus populasi dewasa sudah lengkap vaksinasi pada Rabu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan “dalam beberapa minggu lagi”.

Beliau berkata ini kerana sehingga Rabu lepas (22 September) 81 peratus populasi dewasa dalam negara telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu.

“Insyallah, sabar. Tunggu beberapa minggu lagi saya percaya 90 peratus dapat dicapai dan kelonggaran diberi untuk rentas negeri,” kata Ismail Sabri yang menyifatkan pengumuman mengenai kebenaran rentas negeri itu sebagai sesuatu yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

“Kalau Rabu lepas sudah capai 81 peratus, maknanya sudah tidak lama lagi nak (boleh) rentas negeri. Jadi bolehlah balik ke kampung berjumpa ibu bapa. Saya difahamkan ada yang sudah setahun tidak berpeluang berjumpa ibu bapa,” katanya ketika berucap melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Rumah Ikram Keluarga Malaysia hari ini.

Rabu lepas Perdana Menteri dilaporkan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikannya memutuskan rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM). – Bernama, 24 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen