Pengendali data perlu canggihkan keselamatan sistem, kata Salleh Keruak


Nabihah Hamid

Semalam warga Malaysia digemparkan lagi dengan kebocoran data peribadi besar-besaran, kali ini membabitkan 220,000 maklumat peribadi penderma organ warga Malaysia. Justeru hari ini Menteri Komunikasi dan Multimedia Dr Salleh Said Keruak menyeru pengendali data memperketatkan keselamatan sistem mereka agar kejadian sama tidak berulang. – Gambar EPA, 24 Januari, 2018.

PENGENDALI data wajib memperketatkan keselamatan sistem mereka bagi mengelakkan serangan pencurian maklumat, seru Menteri Komunikasi dan Multimedia Dr Salleh Said Keruak. 

“Pihak yang mempunyai dan mengendalikan data serta pengkalan data perlu memperkukuhkan keselamatan data masing-masing supaya tidak berlaku sebarang kebocoran dan penyalahgunaan data,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau mengulas mengenai pendedahan laman forum lowyat.net semalam mengenai kebocoran maklumat membabitkan 220,000 penderma organ warga Malaysia yang mendaftar dengan hospital kerajaan dan pusat pemindahan organ.

Maklumat kad pengenalan, nama penuh, nama saudara terdekat penderma, hubungan, nombor telefon, alamat, bangsa, jantina dan organ yang akan disumbangkan bertarikh 1997 hingga 2016 adalah difailkan secara online, kata lowyat.net.

Salleh dalam pada itu menegaskan, pihaknya melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang melakukan siasatan dan dalang akan dikenakan tindakan undang-undang. 

“JPDP sedang menjalankan penyiasatan. Kenyataan telah dikeluarkan. Kenyataan lanjut akan dimaklumkan oleh Jabatan PDP. 

“Mana-mana pihak yg disabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang,” kata Salleh. 

Sementara itu, Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan isu kebocoran maklumat tersebut dan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa. 

“Laporan polis dan Laporan SKMM telahpun di buat untuk siasatan dan tindakan seterusnya,” katanya melalui WhatApps kepada The Malaysian Insight.

Kali pertama rakyat Malaysia didedahkan dengan kebocoran data membabitkan 46.2 juta pengguna telefon bimbit yang disiarkan oleh Lowyat.net pada 19 Oktober tahun lalu.

Kebocoran itu berlaku antara 2012 hingga 2015 dan melibatkan Jobstreet.com, Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) dan syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom dan DiGi. – 24 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen