FORUM dalam talian, Lowyat.net mengesahkan sebanyak 46.2 juta nombor telefon bimbit daripada pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan dibocorkan.
Menurut laman itu hari ini, kebocoran maklumat peribadi berlaku pada Mei dan Julai 2014.
“Kebocoran ini menjejaskan nombor telefon bimbit yang menggunakan sistem prabayar dan pascabayar, selain maklumat pengguna, alamat dan juga maklumat kad sim.
“Kami telah kongsikan semua maklumat berhubung data yang kami temui. Cara dan bagaimana kami dapatkan maklumat ini telah pun kami kongsikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu lepas,” kata laman itu.
Laman itu juga turut menyenaraikan syarikat telekomunikasi yang terjejas terutamanya Digi Prepaid yang paling banyak terbocor (11,411,815), diikuti Celcom Prepaid (10,548,183) dan Maxis Hotlink (9,562,019).
Kebocoran data pada 19 Oktober lalu bukan sahaja menjejaskan syarikat telekomunikasi, malah turut melibatkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) (61,062), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) (15,965) dan Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) (4,282).
“Pangkalan data perubatan ini termasuklah maklumat peribadi, nombor MyKad, nombor telefon bimbit, rumah, kerja, dan juga alamat kediaman.”
Dalam masa sama, Lowyat.net menggesa syarikat yang terkait mengambil tindakan lanjut dan “melindungi kesemua yang terlibat dalam kebocoran ini.”
“Walaupun ia adalah tugas pihak berkuasa untuk mengenalpasti kebocoran ini untuk memastikan insiden serupa tidak berulang lagi, namun, kunci untuk mengawal masalah ini ialah dengan melindungi setiap mangsa,” kata laman itu. – 30 Oktober, 2017.
Komen