Kementerian siasat kebocoran data penderma organ 


Radzi Razak

Kebocoran data itu berlaku secara dalam talian seawal September 2016 dan kandungan yang terdapat dalam dokumen dalam talian itu sama dengan borang pendaftaran dalam talian kerajaan di http://dermaorgan.gov.my. – Gambar Facebook, 24 Januari, 2018.

PESURUHJAYA Perlindungan Data Peribadi (PDP) kini menjalankan siasatan berhubung kebocoran data peribadi 220,000 penderma organ Malaysia. 

PDP merupakan sebuah jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. 

“PDP mengambil maklum dan memandang serius akan insiden ketirisan data peribadi penderma organ yang disebarkan menerusi forum lowyat.net semalam. 

“Isu berkenaan dalam perhatian dan sedang dalam siasatan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709),” kata PDP daam satu kenyataan hari ini. 

Kebocoran itu didedahkan oleh forum dalam talian lowyat.net membabitkan penderma organ yang berdaftar dengan hospital kerajaan dan pusat penderma organ. 

Lowyat.net berkata, kebocoran data itu berlaku secara dalam talian seawal September 2016 dan kandungan yang terdapat dalam dokumen dalam talian itu sama dengan borang pendaftaran dalam talian kerajaan di http://dermaorgan.gov.my.

Fail berkenaan dibahagikan mengikut tahun berpandukan pendaftaran penderma, dari 1997 hingga 2016. Fail dari 1997 hingga 2008 dipenuhi data yang tidak berguna, sementara fail dari Januari 2009 hingga Ogos 2016 mempunyai butiran peribadi lengkap membabitkan 220,000 individu yang mendaftar sebagai penderma organ. 

Ini merupakan kali kedua kebocoran data berlaku di mana kali pertama yang disiarkan oleh Lowyat.net pada 19 Oktober tahun lalu membabitkan data peribadi 46.2 juta pengguna telefon bimbit.

Kebocoran itu berlaku antara 2012 hingga 2015 dan melibatkan Jobstreet.com, Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) dan syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom dan DiGi.

Kebocoran itu dikesan kepada alamat IP di Oman oleh polis yang berkata pelanggaran itu mungkin berlaku ketika pemindahan data dan melibatkan pekerja syarikat terbabit. Tiada maklum balas berhubung kes itu setakat ini. – 24 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen