PASUKAN polis harus mengambil alih siasatan kes tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan reman minggu lalu berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan urusan kes bekas seorang ketua jabatan, kata Rasuah Busters.
Ini bagi memastikan siasatan itu telus dan menyeluruh, kata ketua pasukan gerakan rakyat antirasuah Hussamuddin Yaacub.
“Penyiasatan kes ini juga mestilah diambil alih serta merta oleh satu pasukan khas Polis Diraja Malaysia agar siasatan telus dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Hussamuddin yang menyifatkan kes ibarat perumpamaan “harapkan pegar, pegar makan padi” mahu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dipertanggungjawab dan digantung tugas sepanjang siasatan berjalan.
Beberapa hari lepas, sebuah blog mendedahkan SPRM menahan tiga pegawainya terkait dakwaan mencuri barang kes iaitu wang rampasan daripada bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia Hasanah Abd Hamid tiga tahun lalu.
Pada April 2021, Hasanah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pendakwa menarik balik pertuduhan terhadapnya.
Blog itu juga mendakwa Hasanah kini menuntut semula wang yang dirampas tetapi sebahagiannya didapati wang palsu.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Abd Jalil Hassan berkata pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung kecurian barang kes seperti didakwa.
SPRM kemudian mengesahkan tiga pegawainya ditahan reman enam hari antara 14 hingga 19 September untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Hussamuddin berkata kes seumpama ini mengukuhkan lagi desakan untuk reformasi struktur membebaskan SPRM dan Peguam Negara daripada kuasa politik dan diletakkan di bawah Parlimen.
Beliau juga mahu Parlimen dan kerajaan meluluskan segera enam tuntutan politik Malaysia Tanpa Rasuah yang diumumkan Rasuah Busters minggu lalu.
Satu daripada enam tuntutan itu ialah kebebasan serta ketelusan SPRM dan Jabatan Peguam Negara.
Mereka juga mendesak kerajaan menyokong penuh dan melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional, yang diluluskan kerajaan Pakatan Harapan. – 21 September, 2021.
Komen