MUFTI Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan, tindakan pihak berkuasa agama ke atas aktivis Amri Che Mat sebelum ini adalah untuk membendung pengembangan fahaman Syiah.
Katanya, Pejabat Mufti Perlis membuat serbuan ke rumah Amri pada 2016 selepas menerima pelbagai aduan daripada penduduk sekitar mengenai aktiviti Syiah yang dijalankan aktivis tersebut.
Jelasnya, beliau bertanggungjawab untuk mengekang pengaruh fahaman ekstrem itu dari menggugat keselamatan negara.
“Yang kita prihatin adalah ajaran untuk menjadi sebuah negeri mullah,” kata Dr Mohd Asri, merujuk kepada tindakan yang dilakukan ke atas Amri.
Jelasnya, Amri telah dipanggil ke pejabat Mufti Perlis selepas pegawai agama dan polis menyerbu rumahnya pada 2016.
“Sebab itu ketika dia berjumpa saya, saya cakap pada dia, ‘saya pergi tempat awak kerana saya bukan menghalang, tidak’.
“Awak tahu bahawasanya saya bercakap soal kebebasan, hak asasi. Tapi awak telah mengamalkan dan ia melampui batas. Awak buat sekeliling awak jadi kelam kabut,” kata mufti itu lagi.
Jelasnya lagi, aktivis berkenaan yang didakwa hilang sejak dua tahun lalu mengaku bahawa beliau seorang pengikut ajaran Syiah.
Beliau berkata pengakuan pengasas Perlis Hope dibuat ketika perjumpaan yang diadakan antara mereka berdua di Pejabat Mufti Perlis pada 2016.
“Saya beritahu pada Amri beberapa perkara, (ketika pertemuan) kalau awak nak Syiah sorang- sorang dengan isteri awak, awak tutuplah rumah awak, bilik awak dan Syiahlah, itu bukan urusan saya.
“Saya tahu itu antara dia dengan tuhan dia nak pilih jalan dia sendiri,” katanya kepada pemberita sewaktu di temui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dr Mohd Asri berkata, pihaknya terpaksa bertindak apabila Amri didapati mengadakan aktiviti untuk mengembangkan ajaran itu.
“Pasal apa yang awak percaya saya tak boleh halang apa yang ada dalam dada awak. Tetapi sekali awak buat satu aktiviti di mana orang keliling buat aduan saya kenalah pergi buat siasatan,” kata mufti tersebut.
Tiada tangkapan, pertemuan secara harmoni
Dr Mohd Asri berkata beliau memutuskan untuk pergi ke rumah Amri selepas menerima pelbagai aduan daripada penduduk sekitar mengenai aktiviti Syiah yang dijalankan Amri.
Ketika serbuan dilakukan, kediaman Amri didapati dihiasi dengan gambar-gambar imam Syiah, katanya.
“Dia sendiri yang beritahu secara terbuka di Syiah, dia tidak bersembunyi. Waktu itu ada polis juga dan beberapa pengikut dia.
“Pertemuan itu secara harmoni, tidak ada tangkapan dan rampasan. Saya sendiri suruh dia buang barang-barang itu,” katanya.

Menurut Dr Mohd Asri lagi, beliau selaku mufti juga telah mengambil pendekatan terbuka dengan tidak mengambil tindakan terhadap Amri.
Bahkan, beliau telah meminta Amri untuk membawa ulama Syiah untuk diadakan dialog agama.
“Perkara kedua saya beritahu dia bawa orang ilmuan Syiah, datang ke Perlis, kita sediakan pentas dialog ulama itu dengan saya.
“Supaya saya nak beri keadilan untuk awak supaya awak tak rasa saya tak adil.
“Saya bukan nak haramkan awak sebelum awak faham kenapa saya nak haramkan awal tapi setelah awak faham,” katanya yang menambah ia tidak mendapat tentangan daripada Amri.
Tambahnya, Amri juga mendedahkan bahawa aktivis tersebut telah melakukan nikah mutaah dengan beberapa wanita di Perlis dan polis juga mempunyai laporan mengenai aktivitinya.
Dr Mohd Asri turut menafikan dakwaan isteri Amri bahawa polis bertindak kasar semasa serbuan terbabit.
“Apa yang isteri Amri beritahu, saya rasa dia cakap tak benar. Saya tak dengar polis menengking anak dia. Saya sendiri ada situ, polis tanya ‘abah mana?’. Tidak ada pun tengking.
“Dakwaan ceroboh tidak benar, sebab polis masuk semua penuh hormat tidak ada barang yang polis ambil, kita hanya masuk untuk melihat (kediaman Amri),” kata Dr Mohd Asri.
Bagaimanapun, pejabat mufti tidak membuat tindakan susulan selepas itu kerana sibuk dan menunggu Amri untuk membawa ulama Syiah bagi mengadakan dialog, katanya.
“Hingga saya saya dengar Amri hilang melalui surat khabar. Sangkaan awal saya dia mungkin pergi mutaah di Thailand,” kata Dr Mohd Asri.
Amri dipercayai diculik 550 meter daripadanya rumah di Padang Behor, Kangar. Polis kemudiannya menjumpai keretanya di Bukit Chabang.
Beliau dilihat kali terakhir oleh isterinya dan keluarga pada 24 November 2016. – 23 Januari, 2018.
Komen