BERGEGAR perasaan penduduk di sekitar kondominium Taman Desa apabila sebuah kren projek pembinaan kontroversi itu tumbang menghempap sebahagian kawasan letak kereta.
“Pada 2.13 petang, sebuah kren tapak projek The Address tertumbang masuk ke bahagian kondominium Tiara Faber. Nyaris-nyaris terkena orang dan kereta di sini,” kata penyelaras media Save Taman Desa M. Gunasekar hari ini.
Beliau menyalahkan pemaju yang tergesa-gesa menyiapkan projek itu tanpa mengambil kira faktor keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Terletak berhampiran dengan dua buah sekolah rendah dan sebuah skeolah menengah, selain dua kediaman tingkat rendah, pemaju The Address dalam proses membina 34 hingga 42 tingkat kondominium dengan jumlah 649 unit di tapak projek itu.
“Apa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) kata tentang ini? Banyak aduan, bantahan dan protes telah dibuat terhadap projek pembangunan ini tapi sampai sekarang pihak berwajib berdiam diri.
“Adakah pihak berwajib menunggu kejadian besar berlaku sebelum ambil tindakan?” kata Gunasekar.
Penduduk Taman Desa telah membantah pembinaan The Address atas pelbagai sebab termasuklah peningkatan kepadatan penduduk dari 60 orang kepada 650 orang untuk setiap 0.4 hektar, selain kenyataan yang tapak itu adalah tanah rizab Tenaga Nasional Bhd.
Pada Mac tahun lalu, sebelas penduduk telah memfailkan saman terhadap DBKL kerana meluluskan projek berkenaan.
Selain itu, bulan lalu, mereka turut memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat penjualan tanah rizab itu kepada pemaju swasta.
Menurut Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, tapak itu sepatutnya digazetkan sebagai kawasan hijau.
Malah, para penduduk sangat kecewa apabila DBKL turut meluluskan lagi 12 projek berkepadatan tinggi di sekitar kawasan mereka tanpa pelan untuk menaik taraf infrastruktur berusia 40 tahun termasuklah perkhidmatan kenderaan awam, jalan raya dan saluran air. – 23 Januari, 2018.
Komen