PENDUDUK Taman Desa hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa agensi pencegah rasuah itu menyiasat jualan tanah rizab kepada pemaju swasta.
Pakatan Protect Taman Desa dalam satu kenyataan berkata, mereka mahu SPRM menyiasat bagaimana tanah rizab Tenaga Nasional Berhad ditukarkan menjadi tanah komersial bagi memberi laluan kepada projek pembinaan bangunan perumahan.
Penduduk berkata perkara itu terbongkar apabila mereka membangkitkan persoalan berhubung perkara itu kepada Dewan Bandaraya dalam satu sesi pendengaran awam pada September tahun lalu.
Pihak pemaju kini sedang membersihkan tanah itu untuk membina The Address - tiga blok bangunan kondominium 34-42 tingkat.
Penduduk bimbang sekiranya projek berkenaan akan meningkatkan kesesakan dari 60 orang kepada 650 orang bagi setiap 0.4 hektar.
Tanah berkenaan terletak bersebelahan sekolah rendah, sekolah menengah dan dan dua kediaman bertingkat rendah.
Jurucakap bagi pihak penduduk yang membantah projek berkenaan, Valerie Low berkata, pemaju telah melanggar peraturan Dewan Bandaraya kerana gagal meletakkan notis projek yang diperlukan sebelum melaksanakan pembersiahan tanah dan kerja pembinaan.
“Papan notis hanya diletakkan selepas aduan dibuat. Sehingga ini, papan tanda maklumat masih belum siap - rujukan kelulusan tidak disertakan dan Dewan Bandaraya seolah-olah menutup mata terhadap perkara ini,” katanya.
Awal tahun ini, 11 penduduk yang mewakili 17 persatuan penduduk dan badan pengurusan, membawa Datuk Bandar Kuala Lumpur ke mahkamah bagi menghentikan The Address.
Mereka membuat laporan kepada SPRM pada pertengahan November terhadap satu lagi projek kondominium yang dibina di bekas tapak taman permainan. – 27 Disember, 2017.
Komen