PELAJAR akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing apabila sekolah dibuka kerana sesi tahun ini diteruskan sehingga Februari 2022, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
Pelajar berkenaan hanya akan naik ke tahap kelas berikut pada Mac 2022, katanya sewaktu mengumumkan ketetapan operasi pembukaan semula sekolah bermula Oktober.
Jelasnya, tempoh lanjutan dua bulan itu akan digunakan untuk menilai tahap penguasaan pelajar terlebih dahulu sebelum dapat naik ke kelas lebih tinggi.
“(Kita akan lihat) sama ada mereka memerlukan bantuan sokongan atau memerlukan intervensi, untuk pastikan mereka kuasai tahap minimum sebelum naik ke kelas seterusnya,” katanya.
Tambahnya, murid Tahun 1 untuk sesi 2022 juga hanya akan mula masuk ke sekolah pada Mac 2022.
Pada masa sama kerajaan akan menilai sama ada kalendar akademik untuk tahun 2022-2023 akan kekal atau diubah.
“Ini sedang diteliti berdasarkan libat urus yang sedang dilaksanakan dengan pelbagai pihak,” katanya lagi dalam sidang media disiar langsung petang ini.
Terdahulu beliau mengumumkan langkah membuka semula sekolah di seluruh negara bermula 3 Oktober, antaranya dengan kehadiran 50% di bilik darjah secara giliran.
Sekolah negeri Fasa 1 bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagaimanapun akan tetap ditutup dan akan menjalankan pembelajaran di rumah, katanya.
Katanya, pembukaan sekolah secara berperingkat itu tetap dibuat walaupun angka jangkitan Covid-19 masih tinggi untuk mengelak pelajar daripada terus renggang dengan sistem persekolahan.
Kerajaan juga sedar dengan tuntutan banyak pihak supaya sekolah yang ditutup sejak Mei lalu tidak dibuka sehingga hujung tahun untuk mengelak warga sekolah terus terdedah kepada jangkitan.
“... Tapi hakikatnya kita bergerak dalam fasa PPN di mana kita perlu membawa kehidupan balik kepada asal dalam norma baharu dan tata cara yang perlu dipatuhi.”
Tegasnya keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan pelbagai pihak termasuk 5 juta pelajar yang datang dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi.
Keputusan itu dibuat selepas libat urus dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, katanya. – 12 September, 2021.
Komen