PASUKAN MySejahtera diberi masa seminggu untuk menyelesaikan semua masalah berkaitan aplikasinya, termasuk isu sijil digital vaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
“Saya sudah mengarahkan pasukan MySejahtera untuk menyelesaikan semua masalah berkaitan dengan aplikasi dengan segera termasuk isu pengeluaran sijil digital yang menjadi perhatian mereka yang sudah divaksinasi lengkap tetapi belum menerima sijil,” kata Khairy dalam sidang media mingguan kementerian hari ini.
“Saya sudah memberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan semua ini agar dapat diberikan sijil digital mereka.”
Sementara itu, mereka yang sudah menerima vaksin lengkap tetapi belum mempunyai sijil vaksinasi di aplikasi boleh menggunakan kad fizikal sebagai bukti.
Bagi yang diberi vaksin di bawah program kerajaan Selangor, Selvax, boleh menggunakan sijil dikeluarkan di bawah aplikasi Selangkah buat masa ini.
Orang ramai merungut dan menulis di media sosial mengenai kelewatan mendapat sijil digital walaupun sudah menyelesaikan vaksinasi mereka.
Ahli Parlimen DAP juga mendesak Kementerian Kesihatan segera memperbaiki kelemahan aplikasi MySejahtera dan Helpdesk kerana banyak pengguna kecewa dengan kekurangan respons dan kelewatan status terkini vaksinasi mereka. – 9 September, 2021.
Berita penuh di sini
Komen