KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak boleh ganti tugas utama guru walaupun mereka tidak divaksin Covid-19, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).
Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan memberitahu The Malaysian Insight salah bagi KPM mengarahkan guru buat kerja lain apabila sekolah dibuka bulan depan, menggesa kementerian cari jalan tolong guru yang tidak divaksinasi untuk mengajar.
“Pada pendapat kami (kesatuan), mengikut undang-undang, guru wajib mengajar kerana itulah peranan guru.
“Walaupun ada sekitar 2,500 guru yang tolak vaksin, mereka perlu dibenarkan mengajar, bukan secara fizikal, tetapi dalam bentuk lain seperti dalam talian.
“Kementerian sepatutnya ada cara untuk tangani hal ini. Mereka tidak boleh arah guru supaya tidak mengajar. Ini berlawanan dengan kod etika kami,” kata Wang.
Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata terdapat 2,500 guru yang masih tidak divaksin dan mereka mungkin akan diberi tugas lain apabila sekolah dibuka semula pada 3 Oktober memandangkan mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.
Radzi berkata daripada 400,000 guru di negara ini, sebanyak 96.7% menerima sekurang-kurangya satu dos vaksin dan 85.26% melengkapkan dua dos vaksin
Mulai 3 Oktober, sekolah akan dibuka semula secara berperingkat, bermula dengan pelajar tahun peperiksaan di Tingkatan Lima dan Enam.
Sekolah di negeri Fasa Dua di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan dibuka untuk pelajar tahun peperiksaan, sementara sekolah di Fasa Tiga boleh buka sepenuhnya. Bagaimanapun, sekolah di Fasa Satu tidak akan dibuka.

Wang berkata tidak adil bagi kementerian untuk memberikan tugas lain kepada guru.
“Tugas lain boleh jadi tidak penting. Tugas utama mereka adalah mengajar. Mereka bukan guru jika tidak dibenarkan mengajar.
“Ada guru yang buat kerja kerani tetapi itu bukan tugas utama mereka. Tidak adil halang mereka daripada tanggungjawab utama mereka iaitu mengajar,” katanya.
Memandangkan tidak semua sekolah akan dibuka kembali secara serentak, kementerian boleh atur supaya guru buat latihan berbanding buat kerja lain, katanya.
Ketika ditanya adakah kementerian akan memecat guru sekolah awam yang menolak vaksin, Wang berkata tidak mungkin kerana vaksinasi terhadap Covid-19 tidak diwajibkan oleh undang-undang.
“Saya tidak fikir kementerian boleh pecat mereka kerana tolak vaksin. Seperti yang saya tahu, tidak ada undang-undang yang memaksa sesiapa pun untuk dapatkan vaksin.
“Adakah undang-undang untuk paksa rakyat Malaysia ambil vaksin? Tidak. Jika tidak ada undang-undang itu, tidak ada cara untuk pecat guru,” katanya.
Wang berkata kementerian perlu ikut prosedur yang tepat jika mereka mengambil tindakan terhadap guru berhubung isu ini, tetapi tidak boleh memecat guru kerana enggan divaksin.
Minggu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau mungkin mewajibkan vaksinasi Covid-19 untuk menyelesaikan isu antivaksin.
Khairy dengan tegas berkata beliau nyaris mencadangkan mandat untuk mewajibkan vaksinasi kepada Kabinet. – 9 September, 2021.
Komen