Khairy beri amaran pertimbang wajibkan vaksin Covid-19


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyampaikan mesej ini kepada mereka yang menolak vaksin sebagai pilihan peribadi dan bukan atas alasan perubatan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan mungkin akan mempertimbangkan untuk mewajibkan vaksinasi Covid-19 bagi menyelesaikan isu anti-vaksin, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Menteri kesihatan itu dengan tegas berkata beliau hampir untuk mencadangkan mandat untuk menjadikan vaksinasi wajib kepada kabinet.

“Buat masa ini, kerajaan masih kekal dengan keputusan untuk tidak mewajibkan vaksin.

“Saya belum sampai tahap yang mana saya akan cadangkan kepada kabinet mandat persekutuan tapi saya tidak jauh juga,” kata Khairy kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya.

Khairy menyampaikan mesej ini kepada mereka yang menolak vaksin sebagai pilihan peribadi dan bukan atas alasan perubatan.

Tambahnya kementerian sedang melihat dasar ujian kebangsaan pada waktu yang akan datang, dan mengatakan bahawa ujian berkala akan dibuat terhadap mereka yang memilih untuk tidak divaksinasi.

“Mereka yang menolak untuk divaksinasi harus memiliki jadual atau rejim ujian tertentu yang harus mereka patuhi.

“Sama ada ia kit ujian pantas dan jika positif, ia akan disahkan menerusi ujian PCR,” katanya.

Sebagai alternatif untuk menjadikan vaksin Covid-19 wajib, Khairy mengatakan bahawa beliau menggalakkan pemujukan.

“Pujukan bukan undang-undang, ini bukan mandat persekutuan tetapi jika syarikat tertentu mengatakan bahawa ia mahu kamu datang untuk mesyuarat atau bekerja, dan kamu perlu divaksin, maka ia bergantung kepada syarikat,” katanya.

Beliau berkata selain itu, kerajaan akan membuka lebih banyak kemudahan kepada mereka yang sudah divaksin.

Ditanya mengenai mereka yang menerima satu dos vaksin namun tidak boleh teruskan dos kedua atas sebab kesihatan, Khairy berkata mereka perlu surat daripada doktor bagi mengesahkannya dan ia akan ditambah dalam aplikasi MySejahtera untuk mereka dalam kategori ini.

“Selagi mereka ada pengesahan doktor yang mereka tidak boleh lengkapkan vaksinasi atas sebab kesihatan, kita akan tambah ciri dalam MySejahtera yang menunjukkan seseorang itu tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan.

“Kita juga akan wujudkan SOP yang sesuai untuk mereka,” katanya. – 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen