5 bekas pengarah FGV Holdings berjaya hidupkan semula tuntutan balas 


LIMA bekas pengarah bukan eksekutif FGV Holdings Bhd hari ini berjaya dalam rayuan mereka untuk menghidupkan semula tuntutan balas terhadap syarikat itu dan 10 lagi berhubung kerugian yang didakwa dialami membabitkan pemerolehan Asia Plantation Ltd (APP) pada 2014.

Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim, dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati terdapat isu perundangan yang memerlukan perbincangan serius dan perlu dibicarakan serta diputuskan yang dibangkitkan oleh peguam kelima-lima bekas pengarah.

“Kami berpandangan bahawa kes ini tidak wajar dibatalkan pada peringkat ini. Oleh itu, kami membenarkan rayuan dan mengenepikan keputusan hakim yang bijaksana dengan kos RM10,000,” kata beliau yang menyampaikan keputusan itu dalam prosiding secara maya hari ini.

Turut bersidang Supang Lian dan Ghazali Cha.

Kelima-lima individu mengemukaan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November 2019 yang membenarkan permohonan FGV dan 10 lagi untuk membatalkan tuntutan balas mereka yang merupakan plaintif dalam kes itu.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah peguam Fahda Nur Ahmad Kamar, yang mewakili kelima-lima perayu dan peguam Andrew Chiew, bagi pihak responden.

Kelima-lima individu ialah Ismee Ismail, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Sulaiman Mahbob, Nozirah Bahari dan Fazlur Rahman Ebrahim. Mereka memfailkan tuntutan balas itu pada 11 Februari 2019.

Selain FGV Holdings Bhd, 10 individu yang dinamakan sebagai responden ialah Azhar Abdul Hamid, Mohd Hassan Ahmad, Dr Othman Omar, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi, Dr Salmiah Ahmad, Hoi Lai Peng, Yusli Mohamed Yusoff, Dr Nesadurai Kalanithi, Mohd Anwar Yahya dan Mohamed Suffian Awang.

Pada 23 November 2018, FGV menyaman bekas presiden merangkap ketua pegawai eksekutifnya Mohd Emir Mavani Abdullah serta 13 lagi menuntut RM514 juta dan ganti rugi lain. Bagaimanapun, kelima-lima bekas pengarah bukan eksekutif terbabit memfailkan tuntutan balas terhadap FGV dan 10 lagi.

Empat defendan yang dinamakan ialah Pengerusi FGV ketika itu Mohd Isa Abdul Samad, bekas ketua pegawai kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha, bekas naib presiden (Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran) Farisan Mokhtar dan bekas pengurus besar kanan (Kluster Hiliran) Rasydan Alias Mohamed.

Sembilan lagi ialah bekas pengarah bukan eksekutif iaitu Ismee, Wan Abdul Aziz, Sulaiman Mahbob, Omar Salim, Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Yahaya Abd Jabar, Faizoull Ahmad, Nozirah dan Fazlur Rahman.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman terbabit adalah mengenai pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada 2014. – Bernama, 6 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen