Selangor diharap patuh dasar parti berhubung alam sekitar, hutan simpan, kata Anwar 


Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata parti itu sudah diberi penjelasan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berhubung isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

PKR berharap kerajaan negeri Selangor akan mengambil langkah sewajarnya sejajar dengan dasar parti untuk memelihara dan melindungi alam sekitar dan hutan simpan, kata Anwar Ibrahim hari ini.

Presiden parti itu berkata PKR sudah diberi penjelasan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berhubung isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) baru-baru ini.

“Dan pada dua hari selepas itu, saudara Amiruddin Shari juga telah bertemu dengan saya untuk perbincangan lanjut terkait hal yang sama,” katanya yang juga ahli Parlimen Port Dickson.

Setakat ini Amirudin belum mengumumkan secara rasmi pembatalan penyahwartaan rancangan pembangunan di hutan simpan berkenaan.

Minggu lalu, PKR memanggil Amirudin untuk memberi penjelasan berhubung rancangan nyah warta hutan berkenaan, berikutan itu menteri besar bersetuju untuk menangguhkan rancangan berkenaan.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata proses bagi menyahwarta HSKLU akan ditangguh sehingga kerajaan negeri selesai menimbang dan menjelaskan kesemua isu yang telah dibangkitkan.

Biro politik parti itu juga berpuas hati selepas mendapat jaminan Amiruddin dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor Hee Loy Sian berhubung isu tersebut.

Susulan itu, Pakatan Harapan negeri turut mengeluarkan kenyataan majlis eksekutif negeri akan mengkaji semula cadangan nyah warta hutan simpan itu dalam mesyuarat minggu depan.

Dalam kenyataan itu, pemimpin parti komponen PH Selangor, termasuk Amirudin berkata keputusan akan dibuat pada mesyuarat yang membincangkan perkara itu.

Kerajaan negeri menyahwartakan separuh daripada huatn simpan itu pada Mei namun hanya mendedahkannya kepada umum pada sidang Dewan Undangan Negeri 30 Ogos lalu.

Berita itu mengejutkan kumpulan alam sekitar dan Adun PH negeri pada sidang DUN telah sebulat suara mengundi untuk tidak nyah warta hutan berkenaan November lalu.

Lebih 40,000 bantahan umum turut difailkan kepada kerajaan negeri bagi membantah projek berkenaan. – 6 September, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen