MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari setuju untuk menangguhkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Dalam kenyataannya malam tadi, Fahmi berkata proses bagi menyahwarta HSKLU akan ditangguh sehingga kerajaan negeri selesai menimbang dan menjelaskan kesemua isu yang telah dibangkitkan.
Biro Politik PKR juga katanya berpuas hati selepas mendapat jaminan Amiruddin dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor Hee Loy Sian berhubung isu tersebut.
Menurut Fahmi, biro itu menegaskan bahawa keputusan perlu berpegang kepada beberapa prinsip asas termasuk kepentingan penjagaan alam sekitar; urustadbir proses perolehan serta penilaian yang telus, terbuka dan baik; serta kesan penyahwartaan HSKLU terhadap masyarakat amnya yang perlu diminimakan.
Ini termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan ahli-ahli Dewan Negeri Selangor dan badan-badan bukan kerajaan, tambahnya.
Isnin lalu, Hee pada sidang DUN berkata kerajaan Selangor setuju untuk menyahwartakan 536.7ha HSKLU untuk dibangunkan.
Pengumuman tersebut mendapat kritikan pertubuhan bukan kerajaan, malah Presiden PKR Anwar Ibrahim meminta Amirudin Shari menjelaskan kepada pimpinan parti berkenaan keputusan itu.
Fahmi dalam pada itu berkata antara mesyuarat malam tadi juga membangkitkan isu cadangan pembinaan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).
“YAB menteri besar telah menjelaskan bahawa PJD Link merupakan cadangan semula pihak swasta bagi menggantikan projek yang sebelum ini dikenali sebagai Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX), iaitu sebuah projek kerajaan persekutuan.
“Kerajaan negeri hanya terlibat dalam isu-isu berkaitan kelulusan tanah,” katanya.
Beliau seterusnya berkata Amirudin memberi jaminan bahawa kerajaan negeri belum memberi apa-apa kelulusan berhubung PJD Link, dan pihak PJD Link wajib melalui proses pendengaran awam semula dengan semua pemegang taruh.
Minggu lalu, penduduk Petaling Jaya menuntut penjelasan kerajaan negeri Selangor berkenaan status projek tersebut, sama ada ia akan diluluskan.
Ketua gabungan bantahan PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir berkata bantahan terhadap projek lebuh raya mega itu bermula sejak 2016.
“Kami menerima jaminan daripada bekas menteri besar Selangor Azmin Ali menerusi Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran iaitu selagi Pakatan Harapan tadbir negeri ini, kami tidak perlu risau tentang projek itu.” – 2 September, 2021.
Komen