JAWATANKUASA Kesihatan Pakatan Harapan mencadangkan 10 paramater prestasi untuk Kementerian Kesihatan bagi tempoh 100 hari dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini.
Katanya, 10 tanda aras prestasi ini boleh mengukur keberkesanan pelaksanaan strategi Cari-Uji-Jejak-Asing-Sokong (FTTIS) dan vaksinasi, serta pengurusan kes, kematian dan kemasukan ke hospital berkaitan kes Covid-19.
“Paramater-parameter ini adalah matriks yang boleh dikira dan boleh digunapakai untuk menilai prestasi Kementerian Kesihatan pada bulan-bulan akan datang dalam mengurus pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
10 paramater itu adalah:
Cari - meningkatkan pengesanan Covid-19 menerusi teknologi seperti sistem HIDE bagi meramal kawasan panas.
Uji – pelaksanaan strategi pengujian kebangsaan bagi menjalankan 250,000 ujian sehari sehingga kadar gejala positif dapat diturunkan.
Kesan – menambahbaik kapasiti kontak kesan digital MySejahtera bagi mengurangkan kes sporadik dalam komuniti.
Asing – mengurangkan masa pengasingan dan kemasukan kurang dari 24 jam serta pelaksanaan Arahan Pengawasan di Rumah” melalui MySejahtera dalam 24 jam selepas kes dikesan.
Sokong – menyediakan kit penjagaan kendiri termasuk oximeter, thermometer dan kit ujian sendiri serta bantuan tunai bagi komuniti B40 dan M40. Ia juga melibatkan Gabungan Nasional Kesihatan Mental.
Mengurangkan kadar kejadian – kepada bawah 55 kes per 100 ribu dan menambah kajian genomik kepada lebih dari 2% untuk memantau varian baharu.
Mengurangkan kes kadar kematian – kepada 0.5% berbanding 0.94% sekarang dan mengurangkan kes dibawa masuk mati (BDI) dari 22% kini kepada kurang 10%.
Mencapai penghunian katil hospital- ke bawah 70% serta katil ICU Covid-19 kepada bawah 50% di seluruh negara bagi memastikan sistem kesihatan awam negara tidak terganggu dengan kes Covid-19.
Liputan vaksinasi lengkap - sebanyak 80% di seluruh negara serta dos penggalak untuk kumpulan berisiko tinggi termasuk petugas kesihatan, barisan hadapan dan pesakit berkomordibiti.
Ketelusan dan sumber terbuka - melibatkan data granular Covid-19 menerusi GitHub serta kerjasama lebih baik antara semua pihak berkepentingan dalam pengurusan Covid-19.
Menurut jawatankuasa, dengan pelaksanaan 10 parameter itu, jawatankuasa berkata ia akan meletakkan tanda aras untuk KKM bagi meningkatkan kadar vaksinasi dan mengekang penularan virus.
Ia juga selaras dengan sasaran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya semua kementerian membuktikan kejayaan dalam tempoh 100 hari.
“Barulah strategi endemik jangka panjang boleh diwujudkan setelah asas kesihatan awam dipatuhi dan kapasiti penjagaan kesihatan diperkuat.
“Semua ini boleh dicapai melalui kerjasama yang lebih kukuh dan terbuka dengan semua pihak terbabit di dalam sektor swasta, akademik, NGO dan juga pihak pembangkang,” kata jawatankuasa lagi.
Jawatankuasa Kesihatan PH diketuai oleh Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), dan dianggotai oleh, antara lainnya, Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Ong Kian Ming (Bangi), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Alice Lau (Lanang), Dr Siti Mariah Mahmud (Selangor exco) dan Dr Norlela Ariffin (Penang exco).
Jawatankuasa juga berharap yang pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai menteri kesihatan, beliau akan “mengetuai agenda kesihatan kebangsaan Malaysia” bagi memerangi Covid-19.
Khairy sebelum ini adalah menteri sains, inovasi dan teknologi di bawah kerajaan Muhyiddin Yassin yang tumbang selepas 17 bulan mentadbir.
Setakat semalam, Malaysia melaporkan 1,805,382 kes Covid-19 sejak meledaknya pandemik tahun lepas. Kes harian juga berlegar sekitar puluhan ribu sejak Jun lepas, dengan 19,378 kes baharu dilaporkan semalam.
Kadar penggunaan katil di ICU di lima negeri juga masih berada di atas 100%. – 4 September, 2021.
Komen