Kementerian diberi 100 hari buktikan pencapaian awal, kata Ismail Sabri 


Noel Achariam Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu setiap kementerian membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2021.

KABINET baharu perlu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika menumumkan barisan menteri dan timbalan menteri hari ini.

“Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” kata perdana menteri ketika mengumumkan barisan kabinetnya hari ini.

Beliau berkata setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan, lebih-lebih lagi ketika negara melawan pandemik Covid-19.

Kerajaan juga katanya perlu merancang dan bekerja kerana Covid-19 akan menjadi endemik, dan ini memerlukan prestasi tinggi dari setiap kementerian.

“Saya akui bahawa kita sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara.

“Saya berharap pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini.”

Tambah Ismail Sabri kabinetnya ditubuh berdasarkan keperluan untuk mengekalkan kestabilan.

“Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.”

Tambahnya lagi selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.

Beliau menegaskan kabinet ini tidak boleh bekerja sendirian dan memerlukan sokongan daripada rakyat Malaysia dan penjawat awam. – 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen