KERAJAAN persekutuan tidak setuju dengan tindakan Selangor berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara bagi tujuan pembangunan komersial.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata jabatan dan agensi di bawah kementerian telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan ini khususnya di peringkat awal cadangan tahun lalu.
“Pihak kementerian dan jabatan dan agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada tahun 2020, kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh kerana penyahwartaan hutan simpan berkenaan berada di luar bidang kuasa kerajaan persekutuan, Takiyuddin berkata kawasan hutan yang telah diwarta keluar tersebut [erlu dibangunkan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira amalan pembangunan lestari.
Beliau mencadangkan zon penampan dikekalkan untuk mengasingkan hutan simpan yang tinggal daripada kawasan yang dibangunkan serta menggesa agar mematuhi Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Beliau berkata kementerian memandang serius langkah itu keran aia melibatkan 536.7 hektar hutan simpan, iaitu separuh daripada saiz keseluruhannya.
Kerajaan negeri menyahwartakan separuh daripada hutan simpaj itu pada Mei, namun ia hanya didedahkan pada sidang Dewan Undangan Negeri 30 Ogos lalu.
Ia bukan sahaja mengejutkan kumpulan alam sekitar dan masayarakay umum, namun juga wakil rakyat dari kerajaan negeri Pakatan Harapan kerana undian di sidang dewan itu pada November tahun lalu sebulat suara bersetuju untuk tidak meneruskan penyahwartaan.
Lebih 40,000 bantahan awam turut difailkan kepada kerajaan negeri sebelum ini bagi membantah projek berkenaan.
Kerajaan negeri didakwa kurang telus, manakala tumpuan turut diberikan kepada pemaju, Gabungan Indah Sdn Bhd yang hanya memiliki modal berbayar sebanyak RM1 dan hak miliknya baru saja dimasukkan pada bulan Disember tahun lalu.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bersetuju untuk menangguhkan rancangan penhyahwartaan itu, menurut partinya PKR, berikutan desakan untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Sebagai sebahagian daripada penyahwartaan itu, negeri ini akan mewartakan tiga “penggantian” tanah hutan di bahagian lain di Selangor untuk menggantikan hutan Kuala Langat yang akan dibangunkan.
Takiyuddin hari ini berkata Selangor perlu memastikan penggantian hutan ini dipelihara, kerana hanya 31.7% kawasan hutan yang tinggal di negeri itu. – 2 September, 2021.
Komen