KISS bantu miskin tegar terkesan GST, bukan pancing undi, kata exco


Nabihah Hamid

Golongan ibulah yang selalu menguruskan pembelian barang, justeru KISS diperkenalkan khusus untuk ibu dan wanita bagi membantu golongan miskin tegar di Selangor, kata Dr Daroyah Alwi, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Januari, 2018.

BANTUAN Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang akan dilancarkan esok (Isnin) bukanlah untuk memancing undi sebaliknya membantu rakyat miskin tegar di negeri itu yang terkesan dengan perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi.
 
Katanya, tahun 2018 merupakan waktu kemuncak kenaikan harga barang dalam keadaan ekonomi Malaysia yang tidak menentu.

“GST bermula pada 2014 dan sekarang ini rakyat sudah mula merasa keperitannya. Kenaikan harga barang yang tinggi dan ringgit tak menentu. Ini semua memberi kesan kepada ekonomi kita.

“Rakyat sangat terkesan dengan masalah ekonomi. Kenapa kita pilih KISS untuk ibu dan wanita? Kerana kita tahu golongan ibulah yang selalu menguruskan pembelian barang.

“Kita melihat kesusahan rakyat yang merana sekarang ini, sekurang-kurangnya B40. Inilah masalah dihadapi oleh rakyat. Sekurang-kurang Selangor buat tanggungjawab kita,” katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight.
 
Dr Daroyah menjawab soalan adakah KISS diperkenalkan untuk memancing undi memandangkan ia diperkenalkan pada tahun yang sama akan diadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mengumumkan KISS semasa membentangkan Bajet 2018 Selangor dengan peruntukan RM72 juta bagi membantu 30,000 keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Pemohon yang layak membuat permohonan melalui 56 DUN.

Selepas permohonan dibuka antara 13 hingga 26 Disember lepas, jumlah pemohonnya mencecah 100,000 orang.

Bantuan bernilai RM200 sebulan itu akan dilancarkan oleh Azmin di Kuala Selangor, petang esok.

Menurut Dr Daroyah, sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali mendapat mandat memerintah Selangor pada PRU14 ini, kerajaan negeri mungkin mempertimbangkan cadangan rakyat agar kuota bantuan ditambah.

“Sekiranya ia didapati berkesan membantu rakyat dalam setahun ini, julat penerima kuota mungkin boleh kita tambah. Kalau PH perintah lagi akan datang.

“Tapi apapun, kita bergantung pada duit yang kita (Selangor) ada. Kita tidak mahu sekadar retorik umum nak beri macam-macam, tetapi tiada peruntukan,” tambahnya.
 
Dr Daroyah Alwi berkata kelayakan pemohon bantuan itu dikenakan syarat ketat bagi memastikan hanya mereka yang layak menerimanya.

“Kita akan lihat berapa tanggungan dan anak berapa orang. Kita pertimbang sekiranya mereka menanggung ibu bapa dan juga mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU).

“Untuk memastikan benar-benar layak. Ketua kampung kebiasaan mengesahkan dan mereka perlu sertakan dokumen. Jadi kita akan tengok kesemuanya.

“Mereka yang tidak menepati syarat ada mencuba nasib. Ini baru kita kata ibu yang anak bawah 21 tahun. Ada juga ibu tunggal anak sudah besar, memohon. Tetapi untuk sekarang kita bantu yang ada anak kecil dahulu,” katanya lagi.

Beliau juga memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan memilih bulu dalam memilih penerima KISS.

“Tidak semesti ada BR1M dan JKM tidak akan dapat bantuan. Kita lihat juga anak berapa ramai. Janji menepati syarat ditetapkan, tiada masalah. Ia juga mengikut budi bicara pada ADUN,” katanya. – 21 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen