BANTUAN Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang diumumkan kerajaan Selangor November lepas mendapat sambutan lebih 200% daripada sasaran asal penerima sebanyak 30,000 orang di seluruh negeri itu, kata exco kerajaan negeri Selangor.
Selepas tempoh permohonan ditutup, kerajaan negeri Selangor menerima sehingga 100,000 permohonan daripada golongan ibu yang juga pengundi berdaftar di negeri itu yang berpendapatan isi rumah di bawah RM2,000, kata Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.
Permohonan yang diuruskan mengikut kawasan dewan undangan negeri (DUN) itu dibuka selama dua minggu antara 13 hingga 26 Disember lepas.
“Kita ada 56 DUN dan setiap DUN sekurang-kurangnya 1,000 permohonan. Yang saya terima saja sudah 2,000 permohonan. Kita boleh katakan permohonan cecah 100,000. Tapi peruntukan kita hanyalah untuk 30,000 orang sahaja,” kata Dr Daroyah kepada The Malaysian Insight.
“Jangan sedih jika tak dapat, untuk sekarang kita memang bagi yang sangat memerlukan. Inilah orang yang perlu dibantu. Ramai yang susah. Ini baru di Selangor,” tambah Dr Daroyah.
Bantuan bulanan RM200 itu, yang disalurkan dalam bentuk barangan dapur seperti beras, minyak masak dan tepung, diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Azmin Ali melalui Bajet 2018 yang dibentangkan di DUN Selangor pada 3 November tahun lalu.
Menurut Dr Daroyah, permohonan paling tinggi diterima daripada ibu-ibu dalam kawasan DUN Sungai Panjang diikuti Semenyih dan Batu Caves. Beliau bagaimanapun tidak memberikan perincian jumlah pemohon.

Pemohon bimbang tak dapat
Sementara itu, tinjauan The Malaysian Insight dengan ibu-ibu di Selangor mendapati ibu-ibu yang meminta KISS bimbang permohonan mereka ditolak kerana merasakan bantuan bernilai RM200 itu perlu untuk membantu mereka meringankan bebas kos sara hidup yang meningkat.
Mereka juga berharap, kerajaan negeri tidak memilih bulu dengan mengecualikan pemohon yang sudah menerima bantuan lain seperti zakat daripada Pusat Zakat Selangor atau daripada kerajaan Persekutuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Nur Aziela Ismail, 40, yang mempunyai pendapatan tidak tetap berkata beliau merasakan peluangnya tipis setelah dapat tahu terlalu banyak pemohon yang meminta bantuan di kawasan Batu Caves.
“Saya pendapatan tidak tetap, anak ramai. Tetapi saya tengok ramai yang mohon. Lagipun saya ada terima zakat juga. Harap permohonan saya diterima kerana bantuan ini sangat-sangat membantu saya dari segi barang rumah.
“Barang rumah sangat mahal. Ikan pun mahal. Kita nak makan pun kena jimat,” kata ibu anak enam ini yang tinggal di Gombak.
Amila Daud AO, 40, pula berkata beliau membatalkan hasrat membuat permohonan KISS memandangkan syarat-syarat yang dikenakan amat ketat termasuk pendapatan isu rumah bawah RM2,000.
Beliau mencadangkan syarat pendapatan isi rumah itu dinaikkan kepada RM3,000 memandangkan ia adalah jumlah standard untuk miskin bandar.
“Di Selangor kos hidup tinggi. Saya harap kerajaan negeri lebih prihatin untuk semak semula syarat kerana pendapatan RM3,000 juga tertekan.
“Saya tengok syarat tidak jadi mohon kerana tahu mesti tak dapat. Macam BR1M pun dia ada had-had dari RM2,000 hingga RM4,000,” kata ibu anak tiga itu.
KISS ditawarkan kepada ibu-ibu berpendapatan isi rumah bawah RM2,000 dan merupakan pengundi Selangor selain mempunyai anak berumur 21 tahun ke bawah.
Dalam pada itu, ibu anak tiga Nazira Misdin berkata amat bersyukur sekiranya terpilih memandangkan gajinya tidak mencecah RM2,000 sebulan.
“Anak saya masih sekolah, suami saya mekanik motor buka dirumah sahaja jadi pendapatan memang tak tetap. Saya sangat perlukan bantuan ini. Harap ia akan diteruskan sampai tahun depan,” katanya yang tinggal di Sungai Pelek, Sepang.

Selangor beri bantuan ikut kemampuan
Dr Daroyah menjelaskan kerajaan negeri Selangor mensasarkan 30,000 penerima berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan yang merekodkan 1.7% dari 6.2 juta rakyat Selangor berpendapatan RM2,000, dengan peruntukan keseluruhan RM72 juta.
“Kita faham ramai yang pendapatan lebih RM2,000 pun mohon kerana mereka rasa dia layak. Masing-masing ingin untuk jadi orang terpilih.
“Kita hendak tolong seramai mungkin. Tapi syarat-syarat kita agak ketat sebab peruntukan kita hanya banyak itu (RM72 juta).
“Untuk RM2,000 ke bawah kita dapat statistik (30,000) dan kita tengok kita ada peruntukan dan boleh buat,” kata bekas doktor gigi ini.
Dr Daroyah sebelum ini berkata KISS lebih baik berbanding BR1M kerana memperuntukkan dua kali ganda jumlah bantuan iaitu RM2,400 setahun berbanding RM1,200, lapor Malaysiakini.
Ia juga bagi mengiktiraf sumbangan dan penghormatan kepada kaum ibu.
“Dengan pengenalan KISS ini kerajaan negeri memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan ibu untuk membuat keputusan dan mempunyai kuasa membeli dalam urusan keperluan keluarga dan anak-anak,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini. – 21 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Zaifulhairy Osman · Ulasan