Serang pengawal: Adakah Bersatu akan ambil tindakan, soal Ramasamy 


Ravin Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy membidas Bersatu kerana belum mengambil tindakan terhadap ahli Pemudanya yang berdepan tuduhan bunuh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2021.

ADAKAH Bersatu akan mengambil tindakan terhadap Noor Azhar Muhammad, ahli Pemuda Bersatu Kota Bharu yang menyerang pengawal keselamatan hingga membawa kematian, atau hanya menutup mata berhubung kes itu, soal pemimpin DAP P. Ramasamy.

Ramasamy berkata ahli Bersatu lebih berminat dengan permainan politik yang mana hingga kini tiada pemimpin parti itu yang tampil untuk menyelar atau mengambil tindakan terhadap Noor Azhar atas tindakan ganasnya menyerang Thava Sagayam yang meninggal dunia Jumaat lalu.

“Pemimpin Bersatu lebih berminat dengan kuasa dan jawatan, dan langsung tidak berminat untuk mengambil tahu tentang tingkah laku ahli dan pemimpin mereka. 

“Lapan bulan selepas serangan ganas itu, tiada tindakan diambil terhadap Noor Azhar,” katanya yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang. 

Noor Azhar menyerang Thava yang berusia 63 tahun ketika itu dengan meja di sebuah kondominioum di Ipoh pada 29 Disember tahun lalu. 

Menurut laporan Thava diserang kerana enggan membenarkan anak lelaki Noor Azhar untuk mandi di kolam renang yang tutup ketika itu. 

Thava dimasukkan ke hospital selepas serangan berkenaan dan menjalani lapan pembedahan di bahagian kepala. 

Hasil bedah siasat yang dijalankan pihak hospital menunjukkan mendiang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru, namun ahli keluarganya bertegas bahawa mendiang meninggal dunia selepas kesihatannya merosot akibat serangan itu. 

Noor Azhar sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah.

Polis bagaimanapun mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai bunuh. 

Noor Azhar kini dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah majistret Ipoh pada 6 September. 

Ramasamy berkata memandangkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin, beliau mungkin akan menggunakan hubungan politiknya untuk memmebaskan diri daripada tuduhan bunuh. 

Beliau menggesa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu untuk mengambil tindakan terhadap ahli Pemuda parti itu.

Katanya kegagalan untuk berbuat demikian adalah seperti membiarkan tindakan Azhar. 

“Memandangkan beliau tidak lagi memegang jawatan (perdana menteri), mungkin beliau boleh mengadakan mesyuarat parti untuk bincangkan tindakan yang boleh diambil terhadap Noor Azhar, ahli pemuda mereka dari Kelantan. 

Semalam, anak saudara Thava, Nelson Raj Nathan memberitahu The Malaysian Insight keluarga mereka cuba mendapatkan keadilan atas kematian bapa saudaranya dan menuntut pampasan bagi pihak balunya.

Nelson menyifatkan bapa saudaranya itu sebagai seorang yang berdedikasi serta penyayang. 

Thava berkahwin dengan Philomena Edward, 59, pada 2003. Mereka tidak memiliki anak dan menjaga Nelson dan tiga adik perempuannya.

Nelso berkata Thava menjalankan perniagaan aiskrim dan roti kira-kira 20 tahun sebelum menjadi pengawal keselamatan pada 2015.

Walaupun bekerja 12 jam sehari, Nelson berkata bapa saudaranya kuat bekerja dan menyara keluarga selepas isterinya hilang pekerjaan di kilang kerana pandemik. – 31 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen