Polis klasifikasi semula kes serang pengawal keselamatan sebagai bunuh


POLIS mengklasifikasikan semula kes serangan terhadap pengawal keselamatan, Thava Sagayam, yang meninggal dunia di rumahnya di Ipoh, Perak pada Jumaat lalu, sebagai kes pembunuhan.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash dalam satu kenyataan berkata polis menghantar semula kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya, untuk meminta hukuman lebih berat terhadap tertuduh.

Tertuduh, Noor Azhar Muhammad, yang dilaporkan adalah ahli Pemuda Bersatu Kota Bharu, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana secara sengaja menyebabkan kecederaan parah.

Beliau kini diikat jamin sementara menunggu pengadilan lain di Mahkamah Majistret di Ipoh pada 6 September.

“Polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada hari mangsa meninggal dunia (27 Ogos).

“Kesalahan itu membawa hukuman mati. Kes ini menunggu arahan lebih lanjut daripada timbalan pendakwa raya,” kata Mior Faridalathrash dalam kenyataan itu.

Noor Azhar dituduh menyerang Thava yang berusia 64 tahun dengan meja di sebuah kondominium di Ipoh pada 29 Disember.

Dilaporkan Thava diserang selepas beliau enggan mengizinkan anak Noor Azhar menggunakan kolam renang yang ditutup pada waktu itu.

Thava dimasukkan ke hospital selepas serangan itu dan menjalani lapan pembedahan di kepalanya.

Bedah siasat menunjukkan beliau meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, tetapi keluarganya berkata kesihatannya merosot selama beberapa bulan akibat serangan itu.

Keluarganya juga memuat naik video kejadian ketika Thava diserang dengan ganas.

Anak saudara Thava, Nelson Raj Nathan berkata kepada The Malaysian Insight semalam, keluarga itu menuntut keadilan atas kematian pakcik dan pampasan bagi balunya.

Nelson menggambarkan pakciknya sebagai seorang yang berdedikasi dan penyayang.

Selepas berkahwin pada 2003 dengan Philomena Edward, yang kini berusia 59 tahun, pasangan itu tidak mempunyai anak dan menjaga Nelson serta tiga saudara perempuannya.

Beliau berkata Thava pernah menjalankan perniagaannya sendiri, menjual ais krim dan roti, selama kira-kira 20 tahun sebelum menjadi pengawal keselamatan pada 2015.

Walaupun terpaksa bekerja selama 12 jam, Nelson berkata pakciknya sangat berdedikasi dan merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarga kerana isterinya kehilangan pekerjaannya di sebuah kilang kerana wabak itu. – 31 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen