Boikot PRU14 bukan cara Islam, kata Hadi 


Sheridan Mahavera

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika berucap di Fastaqim 2.4 di Shah Alam Selangor. Dalam ucapannya, beliau berkata tindakan tidak turun mengundi atau merosakkan undi bertentangan dengan hukum Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Januari, 2018.

SALAH bagi orang Islam untuk memboikot pilihan raya, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang berikutan adanya kempen untuk tidak mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memilih kerajaan dan memimpin kerajaan yang adil untuk semua,” kata Hadi dalam ucapannya ketika melancarkan jentera PRU14 PAS Selangor di Fastaqim 2.4, di Shah Alam hari ini.

“Malangnya ada beberapa pihak terutamanya orang muda yang anggap pilihan raya tak penting. Tak keluar undi, dia kata parti politik ni semua serupa.

“Itu tanggapan yang salah dan bertentangan dengan Islam,” kata Hadi.

Ucapan Hadi itu merujuk kepada kempen di media sosial yang mengajak pengundi supaya memboikot pilihan raya dan juga membuat undi rosak.

Tukang kempen anti PRU14 ini memulakan wacana dan menyebarkan mesej dengan tanda pagar #UndiRosak atau #SpoiltVote, dan #ProtesPRU.

Penyokong kempen undi rosak itu mendakwa tindakan mereka bertujuan menunjukkan kehampaan rakyat terhadap dua gabungan utama parti politik Malaysia iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pilihan PH menamakan bekas presiden Umno Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sementara telah mencetuskan kemarahan sebahagian daripada penyokong kempen undi rosak.

Antaranya, mereka menyalahkan Dr Mahathir kerana telah merosakkan institusi negara, mengekang kebebasan dan mewujudkan budaya politik wang ketika memerintah selama 22 tahun.

Justeru, penganalisis berkata kempen boikot itu tidak lain hanya akan menguntungkan BN kerana ia akan mengurangkan undi terhadap PH.

Dalam pada itu, PAS mengepalai gabungan pembangkang kedua dikenali sebagai Gagasan Sejahtera Rakyat yang akan menentang BN dan PH untuk 222 kerusi Parlimen. – 21 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ularmak dh bersabda

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • mengundi adalah satu kewajipan sbgi rakyat kerana ianya merupakan penentu masa depan negara..jgn nanti tahu nak hentam kerajaan je..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan